Ucapan alu-aluan daripada Pengarah Program Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2Ucapan alu-aluan daripada Pengarah Program Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2

oleh: Nurihan Nasir, Noorazrin Abdul Rajak & Alene Tawang  

Kuala Selangor, 13 & 14 Julai 2026 – Dalam landskap global yang semakin dipacu oleh teknologi digital, automasi dan kecerdasan buatan, penguasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik bagi memastikan negara kekal berdaya saing.

Pendidikan STEM berperanan penting dalam membentuk generasi yang bukan sahaja memiliki pengetahuan saintifik dan kemahiran teknikal, malah berupaya berfikir secara kritis, kreatif serta inovatif dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Menyedari kepentingan tersebut, Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus komited melaksanakan pelbagai program pemerkasaan STEM di peringkat sekolah melalui pendekatan yang kreatif, interaktif dan menyeronokkan.

Pameran yang melibatkan Panitia Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik
Hasil pameran yang kreatif yang menarik perhatian orang ramai

Sebagai manifestasi komitmen tersebut Pusat STEM UPSI telah menghadiri Program dan Pameran Inovasi & STEM 2.0 yang telah dianjurkan oleh pihak Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, Selangor dengan kerjasama pelbagai agensi strategik. Program yang berlangsung pada 13 hingga 14 Julai 2026 menghimpunkan hampir 2,000 orang murid, guru, ibu bapa dan rakan kolaborasi dalam usaha memperkasakan pendidikan STEM melalui pameran inovasi serta aktiviti pembelajaran berasaskan pengalaman.

Program ini bertujuan meningkatkan minat murid terhadap bidang STEM melalui pelbagai aktiviti yang memberi peluang kepada mereka meneroka konsep sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik secara hands-on.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu murid memahami aplikasi STEM dalam kehidupan seharian, malah turut menggalakkan pemikiran kritis, kreativiti, penyelesaian masalah, komunikasi dan kerja berpasukan sejak di bangku sekolah rendah.

Sepanjang dua hari program berlangsung, peserta berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti STEM dan inovasi yang dikendalikan oleh pensyarah dan mahaiswa dari Fakulti Sains dan Matematik UPSI. Di samping itu, pameran inovasi yang melibatkan pelbagai institusi dan agensi membuka ruang kepada murid untuk mengenali aplikasi STEM dalam pelbagai bidang kerjaya serta perkembangan teknologi semasa.

Pada masa yang sama, program ini turut menjadi wadah kepada mahasiswa FSM, UPSI untuk mengaplikasikan ilmu yang dipelajari di bilik kuliah dalam situasi sebenar. Penglibatan mereka sebagai fasilitator memberi peluang mengasah kemahiran kepimpinan, komunikasi, pengurusan program dan kerja berpasukan, seterusnya mampu melahirkan bakal pendidik yang kompeten dan berpengalaman dalam pelaksanaan program komuniti.

Kelihatan bahan pameran dan penglibatan murid dalam inovasi STEM 2.0
Murid-murid sedang menunggu giliran untuk masuk ke dalam Bas Pendidikan
Kelihatan murid-murid menjalani aktiviti pembelajaran dalam Bas Pendidikan UPSI

Selain memberi manfaat kepada murid dan mahasiswa, penganjuran program ini mengukuhkan lagi hubungan kerjasama strategik antara UPSI dengan pihak sekolah serta rakan kolaborasi yang lain. Hubungan yang terjalin ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kerjasama dalam pelaksanaan program pendidikan, penyelidikan dan pemindahan ilmu pada masa hadapan.

Penyertaan Pusat STEM UPSI dalam Program dan Pameran Inovasi & STEM 2.0 anjuran Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2 telah mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasa pendidikan STEM serta menyokong usaha melahirkan generasi yang celik sains, teknologi dan inovasi.

Melalui penglibatan ini, Pusat STEM UPSI berpeluang berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan warga sekolah serta komuniti setempat dalam menyemarakkan budaya pembelajaran STEM yang lebih inklusif dan berimpak. Diharapkan kolaborasi strategik seperti ini dapat terus memupuk minat generasi muda terhadap bidang STEM, sekali gus melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif dan bersedia mendepani cabaran masa hadapan.