oleh NUR AMIRAH ROHIM
Tanjong Malim, 22 Julai 2026- Bilik Seminar Pusat Islam UPSI | Pusat Islam UPSI telah menganjurkan Program Tadabbur Al-Quran MUFIQ: menampilkan Ustaz Aiman Ridhwan bin Mohd Ramlan, Johan Qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2025 sebagai penceramah jemputan utama.
Program dimulakan sekitar jam 9.00 pagi dengan sesi sarapan bersama para peserta sebelum diteruskan dengan pengisian ilmiah pada jam 9.30 pagi di Bilik Seminar Pusat Islam. Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan daripada komuniti sekitar Tanjung Malim serta mahasiswa UPSI yang hadir bagi menimba ilmu berkaitan Al-Quran.
Dalam slot utama, Ustaz Aiman memberikan pendedahan yang mendalam mengenai Surah Al-Fatihah daripada pelbagai aspek. Antara pengisian yang diketengahkan termasuklah perbincangan berkaitan variasi bacaan Surah Al-Fatihah mengikut qiraat, perbezaan makna yang terhasil daripada kepelbagaian bacaan tersebut serta perincian bacaan Al-Fatihah menurut mazhab.
Pengisian program juga menyentuh berkaitan kesalahan-kesalahan bacaan dalam Surah al-Fatihah, khususnya kesalahan jali dan khafi, yang sering berlaku dalam kalangan masyarakat. Penjelasan yang diberikan berjaya memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada para peserta tentang kepentingan menjaga ketepatan bacaan Surah al-Fatihah dalam ibadah seharian.



Di penghujung sesi, Ustaz Aiman turut menjawab beberapa persoalan daripada peserta, antaranya berkaitan kewajipan membaca Surah al-Fatihah dalam setiap solat sama ada solat fardu mahupun solat sunat. Program kemudian diakhiri dengan bacaan doa selepas membaca Al-Quran serta sesi fotografi bersama penceramah dan para peserta.
Secara keseluruhannya, Program Tadabbur Al-Quran MUFIQ ini berjaya membuka dimensi ilmu baharu kepada para peserta khususnya dalam memahami keistimewaan Surah al-Fatihah dari sudut qiraat, makna dan kaedah bacaan yang tepat. Pengisian yang disampaikan bukan sahaja meningkatkan kefahaman peserta terhadap kandungan Al-Quran, malah memberi pengalaman berharga dalam mempraktikkan bacaan Al-Quran secara bertarannum di bawah bimbingan seorang qari bertaraf antarabangsa.
