Oleh: Nadia Shahira Amiruddin
TANJUNG MALIM– Kejayaan demi kejayaan terus dilakar oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila berjaya mengharumkan nama universiti di pentas antarabangsa menerusi penyertaan dalam The International Innovation Arsvot Malaysia 2026 (IAM2026).
Pertandingan inovasi berprestij ini dianjurkan dengan kerjasama beberapa institusi pendidikan dan organisasi antarabangsa, antaranya Thaksin University, Uniglobal Education Academy, Kolej Vokasional (KV), Todox Digital Network, Satbayev University, IMOB, dan KAZAKH International Pedagogical University.
Pertandingan ini menghimpunkan penyelidik, pendidik, pensyarah serta pelajar dari pelbagai negara bagi mempersembahkan inovasi yang berimpak tinggi dalam bidang pendidikan, teknologi dan kelestarian.
Dalam pertandingan tersebut, pelajar ISMP Pendidikan Awal Kanak-Kanak berjaya meraih satu Anugerah Perak (Silver Award) dan dua Anugerah Gangsa (Bronze Award) menerusi penghasilan produk inovatif yang mengintegrasikan pendidikan STEM, teknologi digital serta amalan kelestarian alam sekitar bagi menyokong pembelajaran kanak-kanak.



Salah satu produk yang dipertandingkan ialah produk Gamanji Green Lab: From Waste to Growth berjaya meraih Silver Award menerusi penghasilan inovasi yang menggabungkan kit tanaman baja daripada campuran air kulit bawang dan air beras dengan menggunakan wick hydroponic system. Wick hydroponic system adalah sistem penanaman tanpa penyiraman pokok yang kerap kerana penggunaan sumbu (wick) untuk menyerap air daripada takungan ke akar pokok.
Tambahan pula, kit ini juga menyediakan gamanji board game yang digunakan untuk menambah minat dan pengetahuan kanak-kanak tentang tumbuhan dengan menerapkan konsep monopoly dan pengubahsuaian player tokens kepada permainan kereta kontrol.
Melalui elemen gamifikasi, kanak-kanak didedahkan kepada pengalaman pembelajaran yang aktif, bermakna dan berpusatkan murid, sekali gus memupuk kesedaran awal terhadap amalan kelestarian dan ekonomi kitaran (circular economy).
Turut menerima Bronze Award ialah produk EcoBot: PeanutGrow Smart Watering System, iaitu inovasi yang menggabungkan kit tanaman menggunakan baja organik berasaskan kulit kacang dengan teknologi Arduino.
Smart Watering System merupakan sistem penyiraman automatik yang menggunakan sensor kelembapan tanah (soil moisture sensor) untuk mengesan tahap kelembapan medium tanaman. Apabila bacaan kelembapan berada di bawah paras yang ditetapkan, sistem akan mengaktifkan pam air secara automatik dan menghentikan penyiraman apabila kelembapan kembali optimum. Teknologi ini membantu mengelakkan pembaziran air, mengurangkan risiko penyiraman berlebihan (overwatering), serta memastikan pertumbuhan tanaman yang lebih sihat.
Melalui kit ini, kanak-kanak bukan sahaja mempelajari cara menanam dan menjaga tumbuhan, malah didedahkan kepada konsep STEM seperti pengaturcaraan asas, penggunaan mikropengawal Arduino, sensor elektronik dan automasi.
Di samping itu, penggunaan baja organik daripada kulit kacang memperkenalkan amalan kitar semula sisa makanan, pertanian lestari dan penjagaan alam sekitar. Pendekatan pembelajaran secara hands-on ini mampu meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran kritis, kreativiti serta kesedaran terhadap teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.
Sebuah lagi inovasi yang menerima Bronze Award ialah BloomyBots: From Banana Gel to Smart Care. Produk ini memperkenalkan penggunaan gel berasaskan pisang sebagai medium pembelajaran yang menghubungkan konsep penjagaan tumbuhan, inovasi bahan semula jadi dan teknologi pendidikan awal kanak-kanak.
Produk ini menggabungkan kit tanaman yang menggunakan baja organik berasaskan kulit pisang dengan sistem yang berasaskan Arduino. Sistem ini mampu memantau kelembapan tanah, mengaktifkan penyiraman secara automatik serta memberikan maklum balas secara interaktif melalui paparan LED. Melalui aktiviti penanaman dan pemerhatian, kanak-kanak dapat mempelajari konsep STEM, teknologi dan kelestarian alam sekitar secara hands-on.
Kejayaan ini membuktikan bahawa pelajar ISMP Pendidikan Awal Kanak-Kanak bukan sahaja memiliki kompetensi dalam bidang pedagogi, malah berupaya menghasilkan inovasi pendidikan yang kreatif, relevan dan memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21. Ketiga-tiga produk yang dihasilkan menekankan integrasi STEM, gamifikasi, teknologi digital, pendidikan kelestarian (Education for Sustainable Development, ESD) serta pembelajaran berasaskan pengalaman yang selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
Pendedahan kepada pertandingan inovasi di peringkat antarabangsa turut memberi ruang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran berfikir aras tinggi, kreativiti, penyelesaian masalah, komunikasi dan kolaborasi, di samping meningkatkan keyakinan dalam menghasilkan produk pendidikan yang mampu memberi impak kepada masyarakat.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai bakal pendidik untuk terus menghasilkan inovasi yang berkualiti, memperkukuh amalan pengajaran dan pembelajaran serta menyumbang kepada pembangunan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih mampan, inovatif dan berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.
