Oleh: Nur Damia Insyirah Mohd Asra

Kuala Lumpur — Inovasi Sistem Perakaunan yang diberi nama Nexafin Synergy oleh sekumpulan lima mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya mengharumkan nama universiti apabila meraih Naib Johan bagi pertandingan National Maker-Preneur 2025/2026 yang diadakan di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Pasukan tersebut dipantau oleh Dr Nor Sa’adah binti Jamaluddin daripada Fakulti Pengurusan dan Ekonomi UPSI selaku mentor rasmi kumpulan sepanjang pertandingan berlangsung.

Kejayaan tersebut dilihat sebagai satu pencapaian yang membanggakan apabila sistem perakaunan ‘Nexafin Synergy’ yang dibangunkan berjaya menonjolkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara praktikal dalam membantu peniaga kecil menguruskan kewangan perniagaan mereka.

Selain pembangunan penyelesaian kewangan digital, projek tersebut turut mengetengahkan pembangunan sistem pengurusan perakaunan interaktif berasaskan laman web yang diperkasakan dengan kecerdasan buatan (AI) bagi meningkatkan pengalaman pengguna secara lebih moden, sistematik dan mesra pengguna.

Sistem berasaskan laman web tersebut membolehkan peniaga kecil serta pelajar yang menjalankan perniagaan merekod aliran tunai, menganalisis rekod jualan, dan mengetahui status kewangan perniagaan mereka secara langsung serta telus sepanjang pengoperasian perniagaan.

Pasukan Nexafin Synergy terdiri daripada Eisya Natrah binti Hasnul’ Sham, Nur Damia Insyirah binti Mohd Asra, Ain Sofea binti Ahmad Zainuddin, Nurfathin Najiha binti Zaharuddin dan Kurratu Ainiyah binti Humaidi yang masing-masing memainkan peranan penting dalam pembangunan aspek teknikal, analisis kewangan, reka bentuk antaramuka (UI/UX), serta strategi perniagaan projek berkenaan.

Melalui projek tersebut, pasukan ini berjaya membangunkan sebuah platform perakaunan berasaskan web yang lengkap dengan pelbagai fungsi praktikal seperti penjanaan penyata kewangan automatik, paparan papan pemuka (dashboard) interaktif, serta cadangan analisis kewangan pintar berteraskan AI bagi membantu usahawan mikro membuat keputusan perniagaan yang lebih tepat.

Pembangunan sistem ini direka khusus bagi mengatasi cabaran peniaga kecil dan mahasiswa usahawan yang sering berdepan kesukaran dalam merekod kewangan secara sistematik tanpa memerlukan pengetahuan perakaunan yang rumit.

Kejayaan meraih gelaran Naib Johan sekali gus membuktikan bahawa penggunaan AI dan teknologi perakaunan digital mampu menjadi medium berimpak tinggi dalam memperkukuh ekonomi peniaga kecil, melahirkan usahawan belia yang celik kewangan, serta membuktikan keupayaan mahasiswa UPSI yang kompetitif, kreatif dan berdaya inovasi di peringkat nasional.