Tanjong Malim, 17 Ogos 2026 – Kontinjen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar pencapaian membanggakan pada Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Ke-46 UniSZA 2026 apabila berjaya mengumpul keseluruhan 29 pingat, terdiri daripada 11 pingat emas, lapan pingat perak dan 10 pingat gangsa.
Pencapaian tersebut membuktikan keupayaan warga UPSI untuk bersaing di pentas sukan antara universiti awam, selain mencerminkan semangat kesukanan, komitmen dan kesungguhan tinggi yang ditunjukkan oleh para atlet sepanjang kejohanan.

SUKUM Ke-46 yang berlangsung di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, menghimpunkan kontinjen daripada 20 universiti awam yang bersaing dalam 19 jenis sukan. Kejohanan edisi kali ini berlangsung dalam suasana kompetitif dengan setiap kontinjen berusaha memberikan persembahan terbaik bagi mengharumkan nama universiti masing-masing.
Kutipan 11 pingat emas menjadi antara pencapaian utama UPSI dalam kejohanan kali ini, sekali gus memperlihatkan konsistensi serta kualiti atlet UPSI dalam beberapa acara yang dipertandingkan.
Antara pencapaian yang menyerlah ialah pasukan olahraga yang menyumbang tiga pingat emas, lima pingat perak dan dua pingat gangsa pada kejohanan yang berlangsung di Stadium UniSZA.
Kejayaan kontinjen UPSI ini turut memperlihatkan bahawa kecemerlangan sukan bukan sahaja menjadi platform untuk membina prestasi fizikal dan kompetitif, malah menjadi medium memperkukuh semangat kekitaan, disiplin, kepimpinan dan kerjasama dalam kalangan warga universiti.
Kejayaan tersebut tidak akan tercapai tanpa komitmen tinggi para atlet, pegawai, jurulatih serta seluruh pasukan pengurusan kontinjen yang bekerja keras memastikan persiapan dan penyertaan UPSI berjalan lancar sepanjang temasya.
Pencapaian 29 pingat di SUKUM 2026 juga menjadi suntikan motivasi kepada warga UPSI untuk terus memperkasakan pembangunan sukan universiti serta melahirkan lebih ramai warga yang mampu menyerlah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Nilai JIWA UPSI turut diterapkan sepanjang persiapan Kontinjen SUKUM 2026 melalui lima nilai utama iaitu JIWA Kekeluargaan, JIWA Pendidik, JIWA Kecemerlangan, JIWA Keinsanan dan JIWA Ketaqwaan. Sepanjang kem latihan fasa akhir, seluruh pasukan dibentuk sebagai sebuah keluarga besar yang saling menyokong dan melengkapi, di samping berkongsi ilmu, pengalaman dan kepakaran bagi mencapai kecemerlangan.
Dalam masa sama, aspek adab, empati, kebajikan atlet dan nama baik UPSI sentiasa ditekankan, manakala segala usaha dan perancangan disertai keyakinan serta tawakal kepada Allah SWT melalui Majlis Solat Hajat Kontinjen SUKUM 2026.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada seluruh Kontinjen UPSI atas pencapaian membanggakan ini. Semoga kejayaan di SUKUM 2026 menjadi pemangkin kepada pencapaian yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
