Oleh: Suzaliza Mustafar, Mohamad Khalish Adham Mohamad Faisal, Mohamad Fawwaz Rifqie Norsin
TANJONG MALIM, 26 OGOS 2026 – Inisiatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan pihak pengurusan Kolej Aminuddin Baki (KAB), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mewujudkan kemudahan Dapur Siswa merupakan satu langkah strategik yang berimpak tinggi dalam menyokong kebajikan serta pembangunan holistik para pelajar.
Kewujudan Dapur Siswa di KAB ini terbukti memberi manfaat yang besar apabila satu sesi perjumpaan antara Penasihat Akademi, Dr. Suzaliza Mustafar bersama para pelajar Semester 1 program Diploma Teknologi Makmal (DTM), Fakulti Sains dan Matematik telah berjaya diadakan pada 25 Ogos 2026. Pendekatan perjumpaan yang berorientasikan semangat gotong-royong ini membawa dimensi baharu dalam penasihatan akademik.
Aktiviti yang diadakan ini turut membuka ruang komunikasi yang lebih santai namun berkesan dalam penasihatan akademik kerana disampaikan dalam suasana lebih santai semasa aktiviti memasak bersama-sama.


Salah satu manfaat utama Dapur Siswa di kolej kediaman ini adalah pemupukan kemahiran hidup serta sifat berdikari dalam kalangan mahasiswa baharu. Kemudahan memasak yang serba lengkap seperti periuk, kuali, pengisar, dan ruang penyediaan bahan yang teratur membolehkan pelajar memanfaatkan Dapur Siswa secara optimum.
Di samping itu, inisiatif ini turut memainkan peranan yang signifikan dalam membantu mahasiswa mengurus dan mengurangkan beban kos sara hidup di kampus.
Dengan adanya ruang penyediaan makanan yang bersih dan kondusif,kebajikan pelajar terus terpelihara khususnya bagi mereka yang memerlukan agar tiada yang terjejas akibat kekangan kewangan sekali gus menggalakkan amalan berbelanja secara berhemat sepanjang tempoh pengajian.
Aktiviti memasak secara bergotong-royong dan menikmati hidangan bersama-sama ini secara tidak langsung mengukuhkan semangat kerja berpasukan serta ukhuwah dalam kalangan pelajar semester satu Diploma Teknologi Makmal.
Pengalaman berkongsi tugasan penyediaan makanan menyemai nilai toleransi, empati, dan kebersamaan antara satu sama lain, sekali gus membina persekitaran sokongan sosial yang kukuh di universiti. Integrasi aktiviti sokongan mahasiswa seperti ini bukan sahaja meningkatkan motivasi akademik pelajar, malah melahirkan graduan yang seimbang dari aspek intelek, emosi, dan sahsiah.
Syabas diucapkan kepada pengurusan Kolej Aminuddin Baki dan semoga kemudahan Dapur Siswa terus memberi manfaat yang berpanjangan kepada seluruh mahasiswa UPSI.
