JOHOR, 27 Ogos 2026 – Kelab Destar Limar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melakar kejayaan gemilang apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Tarian Kreasi Baharu Zapin sempena UniKL Arts Festival 2026 yang berlangsung di UniKL MITEC, Johor.
Kejayaan tersebut menjadi lebih bermakna apabila Destar Limar UPSI turut membawa pulang Anugerah Pengarah Tari Terbaik, sekali gus mencipta kemenangan berganda dalam pertandingan yang menghimpunkan bakat seni persembahan daripada pelbagai institusi.
Dalam persaingan sengit melibatkan 13 peserta, Destar Limar UPSI tampil unggul dengan persembahan yang menyerlah dari aspek kreativiti koreografi, penguasaan teknik, disiplin, ekspresi serta kesatuan persembahan. Kejayaan menewaskan 12 peserta lain membuktikan keupayaan pasukan dalam menghasilkan karya tari yang beridentiti, segar dan kompetitif, tanpa mengetepikan nilai serta jati diri tarian Zapin.
Kejayaan ini turut diperkukuh melalui gandingan pengurusan dan kepimpinan yang tersusun. Penyertaan pertandingan ini mendapat sokongan penuh dan dorongan daripada Pengarah Pusat Kebudayaan, Puan Siti Salwa binti Jamaldin dengan kerjasama dari pihak Fakulti Muzik dan Seni Persembahan dan berada di bawah pengurusan Cik Norhafizza binti Mohd Noh, Pegawai Kebudayaan UPSI, serta En. Muhammad Alif bin Mohd Azizi, selaku Penasihat Kelab Destar Limar UPSI. Aspek koreografi pula digarap oleh En. Nasrul Nizam bin Nasir, yang memberikan sentuhan kreatif dan pendekatan koreografi baharu dalam menghasilkan persembahan yang berimpak.
Kemenangan di UniKL Arts Festival 2026 ini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Pusat Kebudayaan UPSI dalam memperkasa penglibatan mahasiswa dan kakitangan universiti dalam bidang seni dan budaya, di samping menyediakan ruang kepada bakat seni UPSI untuk berkembang dan bersaing di peringkat yang lebih luas.


Pencapaian Johan Pertandingan Tarian Kreasi Baharu Zapin dan Anugerah Pengarah Tari Terbaik ini diharapkan menjadi pemangkin kepada Destar Limar UPSI untuk terus meneroka kreativiti baharu, menghasilkan karya seni yang berkualiti dan mengangkat seni tari Melayu agar terus berkembang, relevan serta dihargai oleh generasi masa kini dan akan datang.
Tahniah dan syabas kepada Kumpulan Tari Destar Limar UPSI, barisan pengurusan, kepimpinan, koreografer serta semua pihak yang telah menyumbang kepada kejayaan ini. Semoga pencapaian tersebut terus menjadi inspirasi untuk mengukir kecemerlangan dan mengharumkan nama UPSI melalui seni dan budaya.

