Oleh: Nor Azlina Hasbullah
TANJONG MALIM – Dalam mendepani cabaran globalisasi pendidikan tinggi, Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berbesar hati dan melakar sejarah tersendiri apabila terus menjadi destinasi pilihan institusi berprestij antarabangsa. Pada 7 hingga 9 September lalu, FTV sekali lagi menerima penghormatan menerusi kunjungan rasmi daripada Profesor Dr. Takashi Ikeda dari School of Agriculture (SAMU), Meiji University, Jepun.
Kehadiran beliau yang juga merupakan Profesor Pelawat di Jabatan Sains Pertanian (JSP), FTV ini adalah bagi siri lawatan kali ketiga, sekaligus membuktikan kepercayaan dan pengiktirafan sebuah universiti terkemuka Jepun terhadap kualiti serta potensi akademik dan penyelidikan yang ditawarkan di FTV, UPSI.
Kerjasama strategik ini bukanlah satu inisiatif yang baharu bermula, sebaliknya ia dibina atas asas kelangsungan yang kukuh. Mengimbas kembali pada tahun 2025, Prof. Dr. Ikeda telah hadir ke FTV bersama sembilan orang pelajarnya bagi menjayakan program mobiliti pelajar (tidak berkredit) selama 14 hari. Program yang dilaksanakan secara hibrid (bersemuka dan dalam talian) tersebut telah membuka ruang interaksi intelektual yang meluas antara pelajar dan pensyarah kedua-dua buah universiti. Kejayaan program rintis ini menjadi penanda aras betapa utuhnya persahabatan dan kebolehupayaan kolaborasi merentas sempadan ini.



Pada siri lawatan kali ini, komitmen pembangunan modal insan diteruskan melalui penganjuran seminar khas bertajuk ‘Beyond The Thesis’ bersama para pelajar pascasiswazah di FTV, khususnya pelajar di Jabatan Sains Pertanian. Seminar berimpak tinggi ini bukan sekadar wacana akademik biasa; ia merupakan platform pemindahan ilmu di mana Prof. Dr. Ikeda berkongsi pengalaman luas beliau dalam penyelidikan pertanian bertaraf global.
Seminar ini memfokuskan kepada anjakan paradigma pelajar, menekan peranan dan tanggungjawab hakiki seorang calon pascasiswazah, suntikan motivasi untuk kekal komited, serta tip praktikal untuk bertindak proaktif dalam ekosistem penyelidikan. Sesi dialog yang berlangsung nyata memberi nilai tambah yang besar kepada pelajar untuk berfikir di luar kotak dan melangkaui penulisan tesis semata-mata.
Satu mesej penting yang wajar diangkat daripada kunjungan ini adalah potensi besar jalinan ini sebagai aset strategik fakulti. Lawatan Prof. Dr. Ikeda kali ini menggalas objektif penting sebagai inisiatif Pra-Memorandum Persefahaman (MoU) ketika UPSI dan Meiji University sedang berada dalam fasa akhir ke arah menandatangani dokumen rasmi tersebut.
Kesudian Meiji University, sebuah institusi pendidikan tinggi yang tersohor di Jepun untuk menjalinkan hubungan rakan strategik bersama FTV adalah satu pengiktirafan yang amat membanggakan. Rangka kerja yang dibincangkan sepanjang lawatan ini mencakupi pelaksanaan aktiviti berskala besar pasca-MoU, dengan tumpuan utama merangkumi pertukaran kepakaran akademik, geran penyelidikan bersama, dan perluasan program mobiliti antarabangsa.
Sebagai tanda apresiasi dan penghormatan, Prof. Dr. Ikeda turut diraikan dalam satu majlis jamuan makan malam khas yang cukup bermakna. Lebih membanggakan, majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Dekan FTV, barisan pengurusan tertinggi fakulti, Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) UPSI, serta barisan kakitangan Jabatan Sains Pertanian. Pihak pengurusan FTV menterjemahkan sokongan padu serta komitmen jitu mereka dalam memastikan kelangsungan hubungan dua hala ini terus terpelihara.
Kunjungan ini telah meletakkan asas yang sangat kukuh bagi kerjasama jangka panjang yang menjanjikan impak luar biasa. Diharapkan agar pemeteraian MoU kelak akan mempercepatkan lagi inisiatif-inisiatif akademik dan penyelidikan di antara FTV, UPSI dan SAMU, Meiji University, Jepun. Ini merupakan satu lonjakan paradigma bukan sahaja buat para pelajar dan pensyarah di Jabatan Sains Pertanian FTV, malah bakal menyuntik inspirasi kecemerlangan global buat seluruh warga kampus UPSI. Hubungan persahabatan dua hala ini pasti akan terus mekar, memacu FTV ke mercu kecemerlangan di persada antarabangsa.
