DUNGUN, 17 September — Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dungun, telah menganjurkan Program Kem Pandu Sejarah bertempat di SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun, Terengganu.
Program berbentuk tuisyen khusus itu dilaksanakan sebagai satu langkah intervensi akademik bagi membantu meningkatkan pemahaman dan penguasaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam mata pelajaran Sejarah.



Majlis turut diserikan dengan penyerahan Modul SPM bagi lima mata pelajaran teras, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Sains dan Matematik kepada pihak sekolah oleh YBrs. Prof. Dr. Norkhalid bin Salimin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UPSI.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan komitmen universiti terhadap pembangunan akademik pelajar sekolah.
“Sumbangan modul ini merupakan bukti keprihatinan universiti untuk memastikan calon SPM mendapat bahan rujukan yang komprehensif. Kita mahu para pelajar di Daerah Dungun berkeyakinan tinggi dan bersedia secara optimum dari segi mental dan akademik menjelang peperiksaan nanti.”
Penganjuran kem ini menjadi platform sokongan akademik dalam mempersiapkan para pelajar menghadapi peperiksaan SPM, selain menyemarakkan budaya pembelajaran berterusan dan memupuk kecemerlangan akademik dalam kalangan pelajar di Daerah Dungun.
Sementara itu, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Md. Amin bin Md Taff, Naib Canselor UPSI, turut merakamkan sokongan penuh terhadap usaha pemerkasaan komuniti yang dilaksanakan melalui program berkenaan.
“Melalui inisiatif UCTC, universiti komited untuk membawa kepakaran kepimpinan akademik terus kepada masyarakat. Kerjasama strategik bersama PPD Dungun ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan gred purata sekolah dan daerah.”

