DUNGUN, TERENGGANU, 15 September 2026 – Pusat Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) meneruskan inisiatif Kembara Santuni Alumni dengan mengadakan kunjungan ke Dungun, Terengganu. Ini adalah usaha pusat alumni UPSI mendekati warga alumni serta memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti alumni di luar kampus.

Program ini diadakan di Bilik Mesyuarat Sekolah Kebangsaan Batu 48, Dungun, pertemuan ini menghimpunkan seramai 23 orang alumni UPSI dari sekitar Dungun. Sesi berkenaan memberi peluang kepada pihak universiti untuk berkongsi perkembangan semasa serta mendengar pandangan dan pengalaman warga graduan dalam pelbagai bidang, khususnya dalam sektor pendidikan.

Dalam perkongsian yang disampaikan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPSI, Profesor Dr. Norkhalid bin Salimin, menekankan kepentingan hubungan yang berterusan antara universiti dan alumni. Aspirasi beliau turut memberi penekanan terhadap peranan komuniti alumni sebagai sebahagian daripada jaringan UPSI yang dapat menyumbang kepada perkembangan serta pengukuhan hubungan universiti dengan masyarakat.

Selain itu, Timbalan Pengarah Pusat Alumni, Dr. Lee Hoi Yeh, dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir dan menyambut baik komitmen warga alumni yang terus mengekalkan hubungan dengan UPSI. Beliau turut menggalakkan penglibatan mereka dalam pelbagai inisiatif yang dilaksanakan universiti dari semasa ke semasa.

Pertemuan tersebut berlangsung dalam suasana mesra dan turut membuka ruang perbincangan dua hala. Para peserta berkongsi pengalaman sepanjang berada dalam dunia kerjaya serta pandangan berkaitan keperluan dan harapan komuniti alumni terhadap universiti. Perkongsian secara langsung ini turut membantu Pusat Alumni mendapatkan maklum balas yang lebih dekat dengan keadaan dan keperluan warga graduan di luar kampus.

Kembara Santuni Alumni di Dungun merupakan sebahagian daripada usaha Pusat Alumni untuk memperluas jaringan dengan komuniti graduan di pelbagai lokasi. Melalui pendekatan turun padang, hubungan yang telah terbina dapat terus dipelihara selain membuka ruang kepada kerjasama dan penglibatan yang lebih luas pada masa akan datang.

Inisiatif ini diharapkan dapat terus menghubungkan warga graduan dengan alma mater serta menyokong usaha UPSI dalam memperkukuh jaringan alumni sebagai sebahagian daripada komuniti universiti.