OLEH: DR. VESTLY KONG LIANG SOON, PUAN LENDA ROSLAN DAN TUAN HANAFI OMAR

BATU PAHAT, 13 September 2026 – Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Daerah Batu Pahat, Johor menerusi Unit Latihan telah menganjurkan Kursus Kepimpinan Manikayu Unit Pengakap Kelana Peringkat Pengenalan dan Peringkat 1 Siri 4 Tahun 2026. Kursus selama tiga hari itu berlangsung dari 11 hingga 13 September 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Onn, Batu Pahat.

Penganjuran di Batu Pahat melabuhkan tirai pelaksanaan Kursus Manikayu Pengakap Kelana Peringkat Pengenalan dan Peringkat 1 bagi tahun 2026 di Johor. Siri kursus berkenaan bermula dengan penganjuran oleh PPM Daerah Pontian, diikuti PPM Daerah Kota Tinggi dan PPM Daerah Muar, sebelum diakhiri oleh PPM Daerah Batu Pahat. Pelaksanaan secara bersiri ini mencerminkan komitmen berterusan PPM Negeri Johor dalam memperkukuh kepimpinan Pengakap Kelana di seluruh negeri.

Kursus di Batu Pahat mencatatkan penyertaan seramai 43 orang bagi Peringkat Pengenalan dan 44 orang bagi Peringkat 1. Para peserta terdiri daripada pemimpin Pengakap daripada pelbagai sekolah, institusi pendidikan, agensi kerajaan dan kumpulan Pengakap terbuka. Mereka dibimbing oleh barisan ketua kursus, jurulatih dan pembimbing yang berpengalaman dalam bidang kepengakapan.

Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohd Khir Muda, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Johor. Kursus Manikayu Peringkat Pengenalan dikendalikan oleh Puan Lenda binti Haji Roslan selaku Ketua Kursus, manakala Kursus Manikayu Peringkat 1 diketuai oleh Tuan Hanafi bin Omar.

Sepanjang kursus, para peserta mengikuti pelbagai sidang yang merangkumi tujuan dan dasar kepengakapan, dasar keagamaan, sejarah Pengakap, Persetiaan dan Undang-undang Pengakap, pakaian seragam serta pengurusan rekod dan dokumen kumpulan. Peserta turut diberikan pendedahan tentang Skim Latihan Manikayu dan prinsip Safe from Harm bagi memastikan setiap aktiviti kepengakapan dilaksanakan dalam persekitaran yang selamat, inklusif dan bertanggungjawab.

Bagi Kursus Manikayu Peringkat 1, peserta didedahkan kepada Pergerakan Pengakap Sedunia, Skim Latihan Pengakap Kelana, psikologi Pengakap Kelana dan struktur organisasi Pengakap pada peringkat kumpulan, daerah, negeri serta kebangsaan. Kandungan kursus turut menekankan komunikasi berkesan, kaedah Pengakap, pengurusan risiko serta peranan dan tanggungjawab pemimpin dalam mengurus serta membimbing ahli Pengakap Kelana.

Selain sesi teori, peserta menjalani aktiviti praktikal seperti merancang perjumpaan krew, sistem pangkalan, pioneering, anyaman wogel, istiadat mengibarkan bendera, Malam Pengakap Kelana dan vigil. Pendekatan praktikal tersebut membolehkan peserta mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari, di samping meningkatkan kemahiran komunikasi, kreativiti, penyelesaian masalah, kepimpinan dan kerja berpasukan.

Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Vestly Kong Liang Soon, turut menyertai kursus berkenaan. Penyertaan beliau memperlihatkan komitmen warga UPSI terhadap pembangunan profesional berterusan, pendidikan luar bilik darjah serta pengukuhan jaringan kerjasama dengan organisasi kepengakapan pada peringkat daerah dan negeri.

Kursus ini bukan sahaja meningkatkan pengetahuan berkaitan pengurusan Unit Pengakap Kelana, malah menjadi wadah perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam kalangan peserta daripada pelbagai latar belakang. Jaringan profesional yang terbina diharapkan dapat menyokong pelaksanaan program kepengakapan yang lebih tersusun, selamat dan berkesan di institusi masing-masing. Kejayaan penganjuran ini membuktikan keupayaan PPM Daerah Batu Pahat melaksanakan latihan kepimpinan yang komprehensif dan berimpak.

Secara keseluruhannya, Kursus Manikayu 2026 berjaya memperkukuh kompetensi peserta dan memperkasakan peranan pemimpin dalam membimbing generasi Pengakap Kelana. Tahniah dan syabas kepada PPM Daerah Batu Pahat, barisan jurulatih, pembimbing, urus setia serta semua peserta yang menjayakan kursus ini. Para peserta dijadualkan bertemu kembali pada Oktober 2026 bagi meneruskan perjalanan latihan Manikayu Pengakap Kelana Johor.