Oleh : Mohd Fauzi Harun
Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda transformasi digital menerusi pelancaran laman web baharu bagi fakulti dan Pusat Tanggungjawab (PTj), dengan Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) serta Fakulti Sains dan Matematik (FSM) menjadi dua fakulti terawal yang melancarkan laman web baharu masing-masing.
Selain itu, Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Bendahari serta Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) turut menjadi antara PTj terawal yang melancarkan laman web baharu masing-masing, sekali gus menyokong usaha UPSI memperkukuh identiti digital dan meningkatkan mutu penyampaian maklumat serta perkhidmatan kepada pengguna.
Inisiatif ini merupakan fasa kedua pembangunan semula laman web UPSI, susulan pelancaran laman web utama universiti pada awal tahun 2026.
Projek pembangunan laman web ini diterajui oleh Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) dengan kerjasama Bahagian Komunikasi Korporat, UPSI, sebagai usaha memperkukuh identiti digital universiti melalui pendekatan reka bentuk yang lebih moden, profesional dan konsisten.
Bagi memastikan kelancaran peralihan kepada platform baharu, beberapa siri bengkel pembangunan laman web turut diadakan bagi memberikan pendedahan dan latihan kepada wakil fakulti serta PTj, khususnya dalam aspek pengurusan kandungan, reka bentuk dan pengendalian platform baharu.
Pembangunan semula ini bukan sekadar memberikan penampilan visual yang lebih segar, malah turut menekankan aspek pengalaman pengguna dan reka bentuk antara muka yang lebih intuitif.
Penambahbaikan ini bertujuan memudahkan navigasi, mempercepat capaian maklumat serta memastikan laman web lebih responsif dan mesra pengguna merentas pelbagai peranti.
Selain itu, pembangunan laman web baharu ini turut memberikan penekanan terhadap keseragaman identiti korporat, penyusunan kandungan yang lebih sistematik serta penyampaian maklumat yang lebih efektif kepada pelajar, staf, alumni dan masyarakat umum.
Pendekatan ini diharap dapat meningkatkan keterlihatan digital fakulti dan PTj, di samping memperkukuh imej serta penjenamaan UPSI pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Pelaksanaan fasa kedua ini mencerminkan komitmen berterusan UPSI dalam memperkasakan ekosistem digital universiti, sekali gus menjadikan laman web sebagai platform komunikasi strategik yang lebih dinamik, informatif dan relevan dengan keperluan semasa.
