Oleh: Hafiz Abd Manap
TANJONG MALIM – Kolej Ungku Omar (KUO), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh peranannya sebagai institusi yang aktif dalam pembangunan pendidikan komuniti apabila menerima suntikan dana keseluruhan berjumlah RM11,000.00 daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kerajaan Negeri Perak bagi memperluas pelaksanaan program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di daerah Muallim.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM8,000.00 disalurkan oleh MOSTI, manakala RM3,000.00 merupakan sumbangan Kerajaan Negeri Perak menerusi portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan yang diterajui YB Dato’ Khairudin Abu Hanipah.
Penerimaan dana tersebut menjadi satu lagi pencapaian bermakna buat KUO dalam memperluas jaringan kerjasama strategik bersama agensi kerajaan, sekali gus memperlihatkan keupayaan kolej kediaman sebagai platform pembangunan kepimpinan mahasiswa, inovasi dan pemindahan ilmu kepada masyarakat.
Menerusi inisiatif STEMConnect+: Empowering New Gen in Rural Areas Through STEM, sebanyak tiga siri program dirangka bagi mendekatkan pendidikan sains dan teknologi kepada murid sekolah rendah, khususnya komuniti luar bandar dan masyarakat Orang Asli melalui pendekatan pembelajaran yang kreatif, interaktif serta berasaskan pengalaman sebenar.
Siri pertama, STEMConnect+ 1.0: Light Beneath the Roots, telah berjaya dilaksanakan pada 9 Oktober 2026 di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelah, Sungkai, Perak. Program tersebut mengetengahkan pendekatan Agro-STEM dan Electro-STEM yang menggabungkan elemen pertanian moden, teknologi elektronik serta eksperimen sains secara praktikal bagi merangsang minat murid terhadap bidang STEM.
Kesinambungan inisiatif ini bakal diteruskan menerusi STEMConnect+ 2.0: Resonating Science, Honoring Roots yang dijadualkan berlangsung pada November 2026 di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih, Perak. Program ini memberi penekanan kepada usaha memperluas akses pendidikan STEM kepada komuniti Orang Asli melalui pendekatan pembelajaran yang inklusif dan bersesuaian dengan keperluan murid setempat.
Sementara itu, STEMConnect+ 3.0: Exploring STEM Challenges in Indigenous Communities turut dirancang untuk dilaksanakan di UPSI pada tarikh yang akan dimuktamadkan kelak. Siri ini dijangka menjadi platform penerokaan cabaran dan peluang dalam memperkukuh pembudayaan STEM dalam kalangan komuniti peribumi.
Pengetua Kolej Ungku Omar, Prof. Dr. Haji Mohd Nizam Nasrifan, menyambut baik kejayaan memperoleh dana tersebut yang dilihat mampu memperkukuh peranan KUO sebagai penghubung antara universiti, agensi kerajaan dan masyarakat.
Usaha ini juga selari dengan hasrat untuk melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah berupaya mengaplikasikan ilmu, kemahiran kepimpinan dan kreativiti bagi memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti.
Pelaksanaan ketiga-tiga siri program ini digerakkan oleh Exco Multimedia, Teknologi dan Inovasi Digital, Majlis Mahasiswa Kolej Ungku Omar (MMKUO) Sidang 2026/2027, dengan sokongan pelbagai rakan strategik termasuk agensi kerajaan, institusi pendidikan serta pusat kecemerlangan universiti.
Selain membuka ruang kepada murid sekolah untuk meneroka bidang sains dan teknologi, inisiatif ini turut menjadi medan pembelajaran bermakna kepada mahasiswa UPSI yang terlibat sebagai perancang, penggerak dan fasilitator program.
Lebih signifikan, kejayaan memperoleh pembiayaan luar daripada MOSTI dan Kerajaan Negeri Perak membuktikan bahawa kolej kediaman berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam menyokong agenda pendidikan negara, khususnya melalui inisiatif berimpak yang menghubungkan kepakaran universiti dengan keperluan komuniti setempat.
Dengan pelaksanaan tiga siri STEMConnect+ ini, KUO berhasrat untuk terus memperluas kerjasama strategik bersama pelbagai pihak bagi memastikan pendidikan STEM dapat diakses oleh lebih ramai murid tanpa mengira latar belakang dan lokasi.
KUO terus komited memperkasa mahasiswa sebagai agen perubahan yang membawa ilmu, inovasi dan inspirasi melangkaui sempadan kampus demi pembangunan masyarakat dan generasi masa hadapan.
