Oleh: Ummikalsum Mat Lazim dan Bazliah Ahmad Mahmud
TANJONG MALIM, 31 Oktober 2026 — Institut Penyelidikan dan Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (i-FURQAN), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), mencatat pencapaian membanggakan apabila berjaya meraih keseluruhan tujuh pingat, terdiri daripada tiga pingat emas dan empat pingat perak menerusi penyertaan dalam dua pertandingan inovasi, iaitu International Level Ulul Albab Innovation Competition Exhibition (UA-ICE) 4.0 dan Student Innovation Competition Exhibition 2026 (SINOVET26).
Dalam UA-ICE 4.0 yang berlangsung di Dewan SITC, UPSI, warga i-FURQAN berjaya membawa pulang tiga pingat emas dan dua pingat perak menerusi penyertaan dalam dua kategori pertandingan.
Bagi Kategori A: Akademik dan Penyelidik, Prof. Madya Dr. Ibrahim bin Hashim berjaya meraih pingat emas menerusi projek Kasih al-Zikr 360.
Sementara itu, dalam Kategori B: Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) serta Kolej, tiga projek berjaya mencatat pencapaian membanggakan. Projek CaliphCamp yang diwakili oleh Muhammad Aiman Fahim bin S Fadhirllah Aljupry, mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) Tahfiz al-Quran dan Qiraat Semester 7, berjaya meraih pingat emas dan dinobatkan sebagai tempat ketiga terbaik.
Projek MatanMate turut memperoleh pingat emas menerusi pasukan yang dianggotai oleh Nur Izzah Basyirah binti Shahrir, Ummi Kalsum binti Mohamed, Ahlam binti Sofian, Afifah binti Azari dan Farhanizzah binti Azman, daripada program ISMP Tahfiz al-Quran dan Qiraat Semester 7.
Dua lagi projek berjaya membawa pulang pingat perak, iaitu K-Innova: Intervensi Faraid yang diwakili oleh Nur Liyana binti Mohd Badwi, mahasiswa ISMP Pendidikan Islam Semester 7, serta i-Sirah Adventure yang diwakili oleh Muhammad Amizekri Idzwan bin Mohd Razaki, mahasiswa Sarjana Pendidikan Islam.
Kecemerlangan i-FURQAN diteruskan dalam Student Innovation Competition Exhibition 2026 (SINOVET26) yang berlangsung di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS), UPSI.
Menerusi Kategori Inovasi Pendidikan, dua projek yang dipertandingkan masing-masing berjaya meraih pingat perak. Projek Huffaz Mastery diwakili oleh Nur Damia Akma binti Mohd ‘Azam, mahasiswa Semester 7 ISMP Tahfiz al-Quran dan Qiraat.



Manakala projek Hiffam diwakili oleh tujuh orang mahasiswa, iaitu Nurhabibah Maisarah binti Shamsul Baharom, Nur Alwani Syamimi Mohd Syafarin, Nur Ain Aqilah Abd Rahman, Aisha Zarifah Nordin, Nisrina Nabihah Yahya, Fathin Nuwairah Mohd Fadzil dan Manal Abd Farid Mahasiswa Semester 3 ISMP Tahfiz al-Quran dan Qiraat.
Secara keseluruhannya, pencapaian tujuh pingat ini mencerminkan komitmen warga i-FURQAN dalam membudayakan inovasi, penyelidikan dan kreativiti, khususnya dalam memperkasakan bidang pendidikan Islam serta pengajaran dan pembelajaran al-Quran seiring dengan perkembangan teknologi semasa serta keperluan pendidikan masa kini. Kejayaan ini turut memperlihatkan potensi mahasiswa dan warga akademik dalam menghasilkan idea serta pendekatan inovatif yang relevan dan menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan budaya inovasi dan penyelidikan ke arah pembangunan ilmu Islam.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua penyelidik, mahasiswa, pasukan inovasi serta pihak yang terlibat atas usaha dan komitmen yang dicurahkan. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi untuk terus menghasilkan lebih banyak inovasi berimpak tinggi yang memacu ke arah kecemerlangan i-FURQAN UPSI pada masa hadapan.
