SINTOK – Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (SUKSIS) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyertai temasya Sukan SUKSIS Zon Utara (SuTRA) 2016 yang berlangsung pada 18 sehingga 19 Mac 2016 di Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
Pasukan SUKSIS UPSI membanggakan universiti apabila berjaya menjadi juara keseluruhan bagi temasya SuTRA 2016 ini. Temasya sukan ini melibatkan anggota-anggota Kor SUKSIS daripada lima buah universiti zon utara Malaysia, iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Teknologi MARA, Cawangan Pulau Pinang (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sendiri. Temasya SUTRA dianjurkan setiap tahun mengikut giliran antara lima buah universiti tersebut dan pada tahun ini, Kor SUKSIS UUM menjadi tuan rumah untuk temasya sukan kali ini.
Ketua Kontinjen merangkap Adjutan Kor SUKSIS UPSI, Mohamad Najib Mohamed berkata terdapat lapan jenis sukan yang telah dipertandingkan dalam temasya SuTRA kali ini, iaitu bola sepak, bola jaring, futsal (lelaki dan perempuan), bola baling (lelaki dan perempuan), badminton (lelaki dan perempuan), tenis (lelaki dan perempuan), bola tampar (lelaki dan perempuan) serta double-discipline. Kor SUKSIS UPSI telah menghantar peserta untuk kesemua jenis acara sukan dan berjaya membolot 9 pingat emas, 2 perak dan 2 gangsa untuk muncul sebagai juara.
Tempat kedua dimenangi oleh Kor SUKSIS UUM manakala tempat ketiga dimenangi oleh Kor SUKSIS USM.
Beliau berkata temasya sukan itu dapat merapatkan hubungan sesama Kor SUKSIS zon utara dan menyemai semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan anggota Kor SUKSIS.
“Semoga penganjurannya yang berterusan dapat meningkatkan mutu sukan dan gaya hidup sihat khususnya dalam kalangan anggota Kor SUKSIS,” katanya.