UPSI, 1 April 2016 – Sebanyak 85 pasukan bakal berentap dalam 4 kategori yang dipertandingkan dalam Kejohanan Pencak Silat UPSI Dan Jemputan Antarabangsa Ke-7 anjuran UPSI, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang berlangsung di Dewan Kolej Ungku Omar dari 30 Mac hingga 3 April 2016.
Empat kategori yang dipertandingkan ialah Kategori Institut Pengajian Tinggi yang melibatkan 24 acara, Kategori Sukma & Terbuka Antarabangsa, melibatkan 25 acara, Kategori Remaja, melibatkan 12 kelas silat olahraga dan Kategori Dewasa berkumpulan, melibatkan 10 kelas silat olahraga. Menurut, Exco Kemudahan Awam, Infrasturuktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin merangkap Presiden PESAKA Perak, yang Mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak, kejohanan itu bukan sekadar memperkasakan dunia persilatan sebaliknya apa yang penting ialah elemen untuk merapatkan silaturrahim, memupuk perpaduan melalui kebudayaan dan kesukanan. sekaligus pemerkasaan kebudayaan dan sukan dapat disuburkan serta turut mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.
“Kita di Nusantara Melayu rapat dengan dunia persilatan bangsa kita. Apa yang dilakukan pada hari ini menjurus kepada kita untuk mengingati susur galur seni warisan bangsa yang diwarisi beradab lamanya.” “Syabas kepada UPSI atas usaha berterusan bagi meningkatkan martabat seni silat dengan menganjurkan pencak silat sama ada di peringkat dalaman mahupun antarabangsa,” katanya.
Beliau turut berharap agar lebih banyak institusi dapat menganjurkan pertandingan sedemikian kerana ia bersesuaian dengan hasrat kementerian untuk menggalakkan aktiviti silat di peringkat sekolah, sekaligus mengangkat perjuangan guru-guru silat demi membela masa depan seni warisan bangsa. Sementara itu, Fiona Azlani, 23, Ketua Kontinjen Singapura, berkata penganjuran kejohanan ini merupakan satu langkah yang bijak dalam usaha memartabatkan lagi seni silat di seluruh negara.
Menurut beliau, di samping penyertaan yang memberangsangkan setiap kali penganjuran, setiap peserta juga amat teruja kerana mereka sememangnya amat menanti-nantikan penganjuran kejohanan itu. Fiona yang menceburi bidang seni mempertahankan diri selama 12 tahun, mewakili Singapura sebanyak 6 kali ke UPSI berharap agar Singapura dapat membawa pulang lebih banyak pingat emas berbanding di kejohanan sebelum ini. Hadir sama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni, ACP (K) Prof. Madya Dato’ Dr. Junaidi Abu Bakar, Pengurus Besar Sukan dan Pencak Silat, Datuk Osman Nok dan Pengarah Pusat Sukan Dr. Ruaibah Yazani Tengah.
Artikel ini diterbitkan pada 1 April 2016.