UPSI, 21 Ogos 2016 – Seramai 900 orang Pegawai Kadet Sispa dari 18 buah IPT ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda Pertahanan Awam dalam Majlis Pentauliahan & Perhimpunan Kor Sispa Peringkat Kebangsaan Kali Ke-7 yang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Majlis disempurnakan oleh Dato’ Deri Dr. Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tambah beliau, penubuhan Kor Sispa menandakan satu lagi langkah ke hadapan yang diambil oleh pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti bagi meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab mahasiswa kepada negara dan masyarakat.
“Penglibatan mahasiswa-mahasiswi dalam Kor Sispa ini pasti dapat membentuk keperibadian mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang berkaliber, bertanggungjawab serta mempunyai kepakaran khusus dalam Pertahanan Awam. Mereka juga akan menjadi contoh kepada masyarakat dari sudut kepatuhan kepada undang-undang serta tauladan terhadap tahap disiplin yang tinggi. Pendedahan dan pengalaman yang diperolehi ini akan dapat membentuk mereka menjadi warganegara yang lebih bertanggungjawab dan peka terhadap keamanan dan kesejahteraan Negara,” katanya.
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Jabatan Pertahanan Awam 3 (JPA3) mula mendapat nama sebagai Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) pada September 2012. Seramai 79 pelajar yang telah menyertai Kor SISPA UPSI dan semuanya terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan lain-lain. Kor SISPA UPSI pada awal penubuhannya telah dipimpin oleh Pegawai JPAM Batang Padang, iaitu Tuan Shahrizal.