Oleh: Dr. Aisyah Mohamad Sharif (FSM)

Tanjong Malim – Jabatan Kimia, Fakulti Sains dan Matematik (FSM) UPSI telah menganjurkan program High Impact Educational Practices (HIEPs) di bawah kursus Kimia (SKU3073). Program ini telah dilaksanakan secara dalam talian pada dua hari yang berbeza iaitu 15 dan 22 Mei 2023 menerusi Google Meet. Program ini diketuai oleh Pengarah Program, Dr. Aisyah Mohamad Sharif bersama dua orang pensyarah kursus sama selaku ahli jawatankuasa. Seramai 108 orang peserta telah terlibat iaitu terdiri daripada pelajar kursus SKU3073 UPSI yang mengambilnya sebagai subjek major, minor dan elektif. Program ini telah diadakan dengan jayanya.

Isu pengangguran di Malaysia dengan kadar pengangguran 3.6 peratus pada bulan Disember 2022 perlu diambil serius dalam mengukuhkan ekonomi negara. Faktor ketidaksesuaian kursus yang diambil oleh siswazah dengan pasaran kerja merupakan salah satu faktor penyumbang kepada isu pengangguran selain kekurangan bakat. Justeru, program HIEPs ini dibangunkan UPSI bagi membangkitkan siswazah yang holistik, berciri keusahawanan dan seimbang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Tinggi Kebangsaan. Program webinar ini dapat membuka minda para peserta tentang mata pelajaran Sains dan Kimia khususnya. Hal ini kerana, ia tidak hanya dipelajari di universiti malah akan juga digunapakai di alam pekerjaan nanti. Program ini secara tidak langsung dapat mendedahkan peserta dengan realiti sebenar sesuatu pekerjaan dan memberi peluang serta pengalaman kepada mereka untuk berdiskusi secara langsung dengan penceramah jemputan industri.

Webinar pertama bertajuk ‘Bekerja di Industri Coklat Eropah’ disampaikan oleh Pegawai Operasi (R&D), Zahidah Sharif. Beliau mempunyai pengalaman bekerja selama tiga tahun sebagai Pegawai Operasi dan Pegawai Hal Ehwal Selia Undang-Undang Industri Makanan di Syarikat Cargill Cocoa & Chocolate. Syarikat tersebut merupakan salah sebuah syarikat coklat di Belgium, Eropah. Webinar ini berlangsung pada 15 Mei 2023 (Isnin) selama 1 jam, tepat jam 8 malam.

Beliau telah berkongsi pengalaman kerjayanya serta mendedahkan ciri-ciri professional yang perlu ada bagi seorang pegawai dalam industri Eropah. Selain itu, beliau turut berkongsi cara berinteraksi atau bekerjasama di antara jabatan dalam syarikat dan bagaimana mata pelajaran Kimia diaplikasikan dalam bidang hal ehwal selia undang-undang makanan dalam syarikat coklat. Tambahan lagi, beliau juga berkongsi maklumat kepelbagaian coklat yang terdapat di pasaran, ramuan asas dan cara proses dalam menghasilkan setiap jenis coklat secara umum dan cara penyimpanan yang betul dalam menjaga kualiti coklat tersebut.

Penceramah berkongsi ilmu berkaitan cara memproses coklat.

Sebagai seorang siswazah yang bakal melangkah ke alam kerjaya, penceramah menasihatkan supaya siswazah mula menyelidik kerjaya yang mampu diceburi dan kemahiran yang diperlukan bagi setiap kerjaya tersebut. Ini akan membantu meningkatkan peluang untuk siswazah mendapatkan pekerjaan yang mereka inginkan. Webinar tersebut telah mendapat sambutan yang baik daripada peserta menerusi perbincangan berkaitan ‘bagaimana coklat hitam lebih baik berbanding coklat susu’, ‘apa yang dimaksudkan dengan cocoa liquor dalam coklat’, teknik merasa coklat untuk membezakan tekstur coklat dan ‘bagaimana struktur kristal coklat berubah dengan pengaruh suhu’.

Bagi webinar kedua pula ialah ‘ABC Pengurusan Database Perniagaan’. Webinar ini turut disampaikan oleh penceramah sama yang juga merupakan Pakar Pangkalan Data Digital (Digital Database Specialist) setelah beliau kembali dari Eropah. Beliau menjalankan perniagaannya sendiri. Webinar ini bertujuan memberi pendedahan berkenaan pengurusan pangkalan data itu sendiri. Selain itu turut didedahkan jenis pangkalan data yang ada dalam perniagaan kepada peserta berkenaan data yang perlu diuruskan, tidak kiralah mereka sebagai pekerja mahupun usahawan. Peserta juga turut diberikan latihan teknikal membina rekod pelanggan menggunakan formula ABC. Webinar ini berlangsung pada 22 Mei 2023 selama 1 jam, tepat jam 8 malam. Lima topik telah dibincangkan iaitu pengurusan pangkalan data, aplikasi pangkalan data dalam perniagaan, alatan yang biasa digunakan untuk mengurus pangkalan data secara format digital, tiga perkara penting sebelum membina rekod, dan formula ABC untuk membina rekod pangkalan data.

Peserta begitu aktif semasa sesi webinar dijalankan kerana penceramah banyak melibatkan peserta dalam memberikan respon sepanjang sesi tersebut. Ada juga perserta yang bertanyakan soalan berkenaan cara penceramah menguruskan pengkalan data yang digunapakai oleh tiga kontinjen (Eropah, Amerika Utara dan Asia) dan bagaimana sistem pengkalan data itu digunapakai oleh mereka. Penceramah menerangkan bahawa kebesaran saiz data yang perlu diuruskan adalah bergantung kepada siapa dan data apa yang terlibat. Misalnya, pekerjaan beliau sebagai Pegawai Hal Ehwal Selia Undang-Undang Industri Makanan yang perlu menyediakan maklumat undang-undang dari pelbagai negara untuk kegunaan jabatan penyelidik, pemasaran (marketing) dan jualan. Negara yang terlibat bergantung kepada ke mana produk akan dipasarkan. Memandangkan Cargill membuat perniagaan di lebih 70 buah negara, penyelidik, jualan dan pasukan pemasaran yang terdiri daripada Asia, Eropah dan Amerika Utara. Mereka memerlukan maklumat undang-undang negara untuk menghasilkan formula coklat (R&D), label pembungkusan (marketing) dan limit kontaminasi bahan perdagangan (jualan).

Penceramah bersama-sama peserta membuat latihan teknikal membina rekod pelanggan menggunakan formula ABC.

Berdasarkan pemerhatian dan maklum balas para peserta, program ini telah berjaya membuka minda dan menimbulkan rasa minat terhadap Sains dalam diri mereka. Ilmu yang dibekalkan seperti ilmu coklat dan pengurusan pangkalan data perniagaan juga meningkatkan ilmu pengetahuan mereka dalam bidang Sains dan keusahawanan. Akhir sekali, pihak jawatankuasa berpendapat bahawa program ini perlu diteruskan pada masa hadapan memandangkan ianya memberi impak yang positif terhadap peserta. Program ini adalah inisiatif yang baik dalam usaha melahirkan siswazah yang mempunyai ilmu yang relevan dan bersesuaian dengan permintaan semasa industri. – ePena.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)