DATUK MARY YAP BERUCAP

UPSI, 11 Oktober  – “Antara cabaran terbesar dalam menentukan kualiti akademik yang lestari di peringkat pengajian tinggi ialah keupayaan untuk memadankan (match) kelayakan akademik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil tinggi Pengajian Malaysia atau setaraf dengan pilihan kursus dan Universiti Awam yang bersesuaian,”.

“ Keadaan ini memerlukan calon yang berkenaan benar-benar bijak memahami syarat minimum enrolmen yang telah ditetapkan bagi setiap kursus yang ditawarkan oleh  UA serta calon perlu bijaksana untuk menentukan aliran pengajian yang diminati sama ada akademik atau kemahiran,” ujar Timbalan Menteri, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching.

Tambah beliau, sekiranya perkara ini tidak diberikan perhatian yang serius, terdapat kemungkinan bahawa calon tersebut akan tidak ditawarkan kursus yang dimohon atau juga kemungkinan tidak ditawarkan tempat untuk melanjutkan pelajaran. Bukan itu sahaja malah juga akan menjadi tekanan kepada calon untuk meneruskan pengajian  kerana tidak memahami syarat minimum dan sifat sebenar (nature) kursus tersebut di peringkat awal.

“Justeru, adalah amat penting untuk calon-calon lebih pro-aktif dalam hal ini dengan meneroka maklumat yang berkaitan tanpa hanya bergantung dan berharap kepada keluarga dan pihak sekolah semata-mata,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Edu Care Carnival yang berlangsung di Dewan SITC, UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil.

Turut diadakan pelancaran Modul Advanture Based Counseling (ABC) dan Pelancaran Buku Zero To Hero UPSI.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, Modul ABC yang dibangunkan oleh Pusat  Kaunseling, UPSI merupakan modul motivasi yang pertama menggunakan pendekatan ABC yang berkonsepkan remaja proaktif, kreatif, cinta dan bangga.

“ Ianya merupakan salah satu teknik dalam membantu klien untuk melakukan perubahan dalam diri dengan mudah dengan membina jati diri, mengubah personaliti dan meningkatkan kepimpinan diri dan keyakinan diri klien. Kesemua eleman ini amat penting dalam melahirkan mahasiswa yang cemerlang bukan sahaja daripada akademik malah sahsiahnya”.

“Modul ini dikendalikan secara “outdoor” dan berbentuk aktiviti lasak dan cabaran dimana peserta akan bertindak dan berubah melalui pengalaman yang dilaluinya. Program ini dirangka dan harus dijalankan di tapak-tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi yang mempunyai tapak untuk perkhemahan dan juga aktiviti lasak,” katanya.

Tambah beliau, Modul ABC ini juga telah diimplimentasikan kepada sekumpulan pelajar-pelajar UPSI dan didapati bahawa hasil daripada Modul tersebut amat memberangsangkan.

Manakala Buku Zero To Hero menghimpunkan kisah-kisah benar kejayaan pelajar-pelajar yang telah mengharumkan nama UPSI dalam pelbagai bidang.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Tinggalkan Balasan

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)