UPSI, 16 Mac – UPSI menjadi lokasi pertama penganjuran program Sesi Ramah Mesra Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr. Ali Hamsa Bersama Warga UPSI dan Penjawat Awam.

Program yang diadakan di Auditorium Utama, UPSI itu diadakan di sini bagi menghargai jasa kira-kira 450,000 guru yang menjadi kumpulan terbesar daripada 1.6 juta penjawat awam, sebelum ianya diteruskan di seluruh negara.

Lebih 700 warga UPSI terdiri daripada kakitangan pentadbir, tenaga pengajar mahasiswa dan penjawat awam sekitar daerah Tanjong Malim itu, hadir bagi mendengar taklimat dan sesi soal jawab.

Dalam majlis itu, Tan Sri Dr. Ali berkongsi mengenai pencapaian negara dalam bidang ekonomi dan sosial serta penyebaran berita palsu.

Menurut beliau, program itu akan menjadi platform untuk beliau menjelaskan pencapaian negara di bawah pimpinan Perdana Menteri, Y.A.B Datuk Seri Najib Razak.

“Saya menunjukkan data sahih mengenai kedudukan ekonomi negara, mereka yang hadir faham, sekaligus tidak akan mudah terikut dengan berita palsu.

“Kita mahu elakkan penjawat awam dan rakyat daripada terpengaruh dengan berita palsu, jadi perlu tunjukkan kejayaan dan pencapaian sebenar negara, yang turut diakui badan antarabangsa,” katanya.

Hadir sama, setiausaha Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Y.B Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran dan Pegawai Kemajuan Negeri Perak, Dato’ Haji Hasim Haji Hasan.

 

#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia#soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan

UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Education University

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI