Oleh : Nurul Razreena Amilin Abdul Rashid
UPSI, 16 Julai – Institut Pengajian Siswazah (IPS) memperkenalkan progam berstruktur khas Smart Master yang mengambil mod penyelidikan dan Smart PhD kepada pelajar Doktor Falsafah bagi membantu pelajar bergraduat dalam tempoh yang ditetapkan (Graduate on Time/G.O.T).
Naib Canselor, Profesor Dato Dr. Mohamad Shatar Sabran berkata program itu, bertujuan membantu pelajar peringkat Ijazah Sarjana dan PhD menamatkan pengajian mereka dalam tempoh masa yang ditetapkan (G.O.T).
“Hasil daripada program pengajian berstruktur ini mampu melahirkan graduan yang menamatkan pengajian mereka dalam tempoh 2 tahun sahaja malah ianya juga menjimatkan kos pengajian yang ditanggung oleh pelajar,”.
“Di samping itu, penilaian kualiti keluaran program ini juga akan dinilai oleh pensyarah-pensyarah yang pakar dari dalam dan luar negara bagi membolehkan pelajar program ini bergraduat dalam tempoh masa yang ditetapkan sejajar dengan hasrat universiti dan Kementerian Pendidikan Malaysia,” katanya pada Majlis Jamuan Tengah Hari Dan Sidang Media Pelancaran Smart Master/PhD UPSI yang diadakan di Hotel Parkroyal, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Dekan, Prof. Madya Dr. Ramlee Ismail berkata, IPS telah memperkenalkan program berstruktur khas yang diberi nama ‘Smart Phd’ bermula pada kemasukan Februari 2017 bagi pelajar Doktor Falsafah dan dan ‘Smart Master’ kepada pelajar sarjana mod penyelidikan bermula pada kemasukan September 2017.
“Kedua-dua program ini merupakan program pembelajaran sokongan yang dijalankan melalui latihan secara berstruktur bagi mendedahkan dan membantu pelajar dengan kemahiran-kemahiran dalam menjalankan penyelidikan dan penghasilan penerbitan yang berimpak tinggi.
“Pelajar akan mengikuti bengkel khas ini dalam tempoh 3 semester bagi peringkat Sarjana dan 4 semester bagi peringkat Phd secara percuma,” katanya.
Tambah beliau, setiap topik disampaikan oleh pensyarah yang pakar dalam bidang masing-masing, dan dari aspek kandungan bengkel ianya disesuaikan dengan keperluan pelajar dan sentiasa ditambahbaik dari masa ke masa bergantung kepada keperluan.
Bagi kemasukan September 2019 yang akan datang, program ini akan diperluaskan kepada program sarjana secara mod campuran (kerja kursus dan penyelidikan) dan juga mod kerja kursus. Ini selari dengan hasrat universiti dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi membantu pelajar bergraduat dalam tempoh.
#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan
UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Educatation