UPSI, 12 Ogos–Seramai 1 285 pelatih Kor SUKSIS dari 19 buah universiti awam berjaya menamatkan latihan dan menerima surat latikan sebagai Inspektor Sukarelawan Simpanan Polis dalam Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Pegawai Kor SUKSIS Universiti Awam Malaysia Kali Ke-14, Tahun 2018 yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Dato’ Sri Mohammad Fuzi Harun berkata, pelaksanaan Kor Sukarelawan itu merupakan satu mekanisme yang mampu memupuk nilai-nilai moral yang positif dan semangat patriotisme dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi bagi membentuk masyarakat yang mempunyai sahsiah dan minda kelas pertama di kalangan tertiary education.
Beliau turut menyeru mahasiswa-mahasiswi untuk menjauhkan diri daripada segala bentuk gejala sosial dan jenayah.
“Sebagai ahli Kor SUKSIS, kalian menjadi contoh teladan kepada pelajar lain, dengan sentiasa mempamerkan keperibadian yang terpuji dan tahap disiplin yang tinggi.
“Semoga segala ilmu dan pengetahuan yang telah dicurahkan dapat dimanfaatkan sebaiknya, dalam mengharungi kehidupan yang lebih mencabar di alam kerjaya kelak. Kejayaan bukan hanya satu destinasi. Ia adalah satu sasaran dan perjalanan yang sentiasa bergerak tanpa penghujung,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, setiap institusi pendidikan tinggi di dalam negara menggalakkan mahasiswa untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti berfaedah di mana hasilnya memberi nilai tambah kepada individu itu sendiri.
“Adalah amat signifikan untuk mahasiswa mempunyai nilai tambah selain daripada kejayaan akademik dan pada hari ini, pentauliahan SUKSIS merupakan antara contoh terbaik di mana ia boleh meningkatkan kebolehpasaran graduan di samping menjadikan anda graduan yang holistik dan kompeten.
“Di samping itu, pembentukan kemahiran insaniah, disiplin diri serta semangat patriotisme yang ditekankan dalam kurikulum SUKSIS amat bermanfaat untuk meningkatkan kualiti para graduan di negara kita,” katanya.
Dalam majlis itu, Inspektor K/S Zahin Iqmal Abd Rani dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dianugerahkan Anugerah Khas Ketua Polis Negara manakala Anugerah Khas Ketua Polis Negara Kategori Skuad Terbaik, dimenangi oleh Universiti Sains Islam Malaysia.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti Dato’ Sri Tajudin Md Isa dan Ketua Polis Perak Dato’ Pahlawan Hasnan Hassan.
#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan
UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Educatation