UPSI, 8 Ogos-Universiti Pendidikan Sultan Idris akan menawarkan program Sarjana Sains Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal yang memberi penekanan kepada memantapkan kemahiran dan kecekapan para kaunselor dalam bidang berkenaan bakal ditawarkan di UPSI.

Dekan Fakulti Pembangunan Manusia (FPM), Prof. Madya Dr. Abdul Rahim Razali berkata, Sarjana Sains Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal di bawah program Jabatan Psikologi dan Kaunseling FPM merupakan program kaunseling kesihatan mental pertama seumpamanya ditawarkan di negara ini.

“Kita berharap program sarjana tersebut akan dapat ditawarkan pada tahun hadapan, sekali gus UPSI menjadi universiti perintis dalam menawarkan Program seumpama ini di Malaysia.

“Program itu, bukan hanya dikhususkan untuk kaunselor dan profesional kesihatan mental yang bekerja di bidang pengkhususan klinikal, tetapi juga untuk semua kaunselor antaranya kaunselor sekolah, organisasi, pusat pemulihan mahupun komuniti kebajikan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutupan Program Pensijilan Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal yang diadakan di Bilik Seminar Za’ba, FPM.

Tambah beliau, tempoh pengajian bagi program itu adalah selama dua tahun setengah untuk pelajar sepenuh masa manakala  bagi pelajar separuh masa dianggarkan dalam tempoh sehingga lima tahun pengajian.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Prof. Madya Dr. Mohammad Nasir Bistamam yang juga merupakan penyelaras program baharu itu berkata, program tersebut wajar ditawarkan kepada kaunselor dan profesional kesihatan mental kerana terdapat peningkatan isu antaranya melibatkan krisis keluarga yang mempunyai kaitan dengan tekanan mental seperti kemerosotan sokongan psikososial yang boleh menyebabkan seseorang bertindak di luar batasan.

“UPSI merasakan sudah tiba masanya program sebegini dilaksanakan kerana kita sememangnya sudah mempunyai calon-calon yang ingin mengikutinya, namun, UPSI perlu menunggu sedikit masa lagi daripada pihak atasan untuk kita laksanakan pada masa akan datang,”

“Program ini juga menggabungkan kerjasama dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah satu universiti dalam usaha memudahkan lagi pelaksanaan program itu,” katanya.

Mengenai Program Pensijilan Kaunseling Kesihatan Mental Klinikal yang berlangsung selama empat hari membabitkan penyertaan 54 peserta dari Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM) dan pengamal-pengamal persendirian, anjuran Persatuan Profesion Psikologi KKM (PSiKEM). Pensyarah Jabatan Psikologi dan Kaunseling Prof. Madya Dr. Samsiah Mohd Jais berkata, program tersebut dibangunkan pihaknya untuk meningkatkan kecekapan amalan kaunselor kesihatan mental klinikal dalam pengetahuan, kemahiran dan kesedaran mengenai aspek kesihatan mental klinikal supaya mereka dapat membantu klien atau pesakit dengan lebih baik dan cekap.

Kandungan program itu, meliputi 30 jam kuliah dan 10 jam amali klinikal di pengkhususan kesihatan mental membabitkan 10 modul yang perlu diikuti bagi melatih kecekapan seperti memahami isu kesihatan mental, pentaksiran simptom krisis serta kecekapan mengendalikan kaunseling.

Turut hadir Presiden PSiKEM Azman Mohamad dan Ketua Penolong Setiausaha Psikologi Kaunseling KKM Mohd Mustaza Mohamad Zin.

#cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #soaringupwards#pioneeringversatility #upsino1pendidikan

UPSI, Universiti No.1 Pendidikan | UPSI, No.1 Educatation

 

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI