Oleh : Mohamad Hisyam Mohammad (Pelajar Praktikal Universiti Malaysia Kelantan)
SEBERANG PERAI, 23 Mac – Majlis Bandaraya Seberang Perai, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Urbanest Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi menjalinkan kerjasama strategik menubuhkan Pusat Pendidikan Hijau Padang Chempedak, Tasek Gelugur Pulau Pinang.
Timbalan Naib Canselor hal Ehwal Pelajar Dan Alumni (HEPA) yang memangku Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Md Amin Md Taff berkata, kerjasama itu bakal memberikan manfaat yang menyeluruh kepada komuniti dan UPSI berbangga dapat mencurahkan ilmu dan pengetahuan kepada golongan komuniti dan masyarakat MBSP.
“Besar harapan agar projek ini diteruskan dan disebar luas di seluruh negeri Pulau Pinang serta negara agar ia dapat dijadikan sebagai model oleh MBSP dan Urbanest Sdn. Bhd dalam melahirkan masyarakat yang lestari terhadap alam sekitar,”katanya.
Dalam pada itu tanah seluas 1.4 ekar di Padang Chempedak akan dimanfaatkan sebagai tempat pembangunan Edu-Green Centre menggunakan sistem alam mesra seperti akuaponik, fertigasi, kompos, kraf, internet of thing (IOT) dan sensor-e-pendidikan hijau. Sekaligus akan menjadi pusat penyelidikan pelbagai disiplin aktiviti hijau seperti pengkomposan, kebun komuniti serta upcycle ke arah mengurangkan sisa.
Edu-Green Centre Padang Chempedak ini juga mampu memberikan impak positif kepada komuniti di samping meningkatkan taraf kesihatan serta mewujudkan inovasi baharu serta mencipta peluang kepada belia untuk menjadi petani bandar.
MoU ditandatangani Profesor Dato’ Dr Md Amin bersama Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Seberang Perai, Dato’ Sr. Haji Rozali Haji Mohamud dan Pengarah Urusan, Urbanest Sdn. Bhd, Karthigayan Gunasegaran.
Menerusi MoU ini, ketiga-tiga pihak akan mengadakan Training of Trainer’s (ToT) yang akan melibatkan kursus dan bengkel kepada komuniti, mengadakan kajian dan konsultasi, menyediakan modul latihan dan bengkel, bekerjasama dalam menyediakan dana dan sumbangan, bekerjasama mewujudkan pertandingan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, memantau keberkesanan program dan saling bertukar kepakaran dalam bidang masing-masing.
#demiUPSI #cemerlangbersama #upsibest #UPSIMalaysia #upsino1pendidikan #upsino1education #Malaysiamembaca UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS UNIVERSITI NO.1 PENDIDIKAN | NO.1 EDUCATION UNIVERSITY