KUALA LUMPUR: Hukuman penggantungan dan denda yang dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke atas pemain dan pegawai Sarawak United yang menyerang pengadil disifatkan wajar untuk mengelak saingan Liga Malaysia (Liga M) menjadi ‘liga kampung’.
Justeru, pemerhati bola sepak tempatan, Dr Zulakbal Abd Karim mengharapkan hukuman yang diberikan oleh badan induk itu mampu memberi kesedaran kepada semua pihak khususnya keperluan untuk berfikir dan bertindak lebih rasional di dalam perlawanan.

Malah, Zulakbal yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu turut melihat hukuman itu sebagai mesej yang jelas daripada FAM bahawa mereka tidak akan bertoleransi dengan sebarang keganasan kepada pengadil, di dalam mahupun di luar padang.
“Kalau tiada hukuman, kita akan jadi macam liga kampung. Mana-mana pemain tidak berpuas hati, terus serang pengadil. Insiden itu pun sebenarnya sudah cukup mencemarkan imej bola sepak kita.
“Dalam apa situasi sekalipun, jangan mengancam pengadil. Mereka perlu menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi walaupun kita tahu perlawanan itu berintensiti tinggi kerana membabitkan perebutan juara Liga Perdana.
“Mereka adalah profesional. Jadi mereka sepatutnya tahu keputusan pengadil adalah muktamad. Tumbuk muka pengadil sampai pecah pun keputusan tidak akan berubah. Gunakan saluran yang betul kalau tidak berpuas hati.
“Saya kira hukuman yang dikenakan untuk kes ini memang cukup untuk mengawal tindakan pemain dan wajar dijadikan pengajaran agar tidak berulang lagi pada masa akan datang,” katanya yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sebelum ini dua pemain dan pegawai skuad ‘The Crocs’ yang didapati menyerang pengadil selepas aksi Liga Perdana menentang Negeri Sembilan (NSFC) menerima padah apabila digantung dua perlawanan sehingga enam bulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Mohammad Amer Saidin dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM2,000 sementara Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli pula didenda RM4,000 serta digantung empat perlawanan.
Pegawai pasukan, Abang Fomay Abang Sa’adeli pula digantung dua perlawanan dan denda RM10,000 manakala Rudy Bujang digantung enam bulan serta denda RM10,000.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu turut mengesahkan penjaga gol Sarawak United, Mohd Sharbinee Allawee Ramli berdepan tiga pertuduhan sekali gus menyaksikan dia digantung lima perlawanan dan didenda RM7,000.
Namun, pengendalinya, E Elavarasan yang membuat kenyataan ketika temuramah selepas perlawanan bernasib baik kerana walaupun didenda RM10,000, namun penggantungan selama 12 bulan yang dikenakan ditangguhkan terlebih dahulu tertakluk kepada kelakuan baiknya selama 12 bulan.
-BHOnline