Kuala Lumpur: Langkah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang bercadang untuk mewujudkan kembali saingan Piala FAM khusus buat pemain bawah 25 tahun (B-25) dilihat tepat dalam memastikan bakat muda negara tidak ‘mati’ begitu saja.

Jelas pemerhati bola sepak negara, Dr Zulakbal Abd Karim, selepas hampir dua tahun saingan peringkat belia tidak dijalankan ekoran pandemik Covid-19, sudah tentu ramai bakat muda lepasan sekolah yang ingin menjadi pemain profesional sedikit terbantut dan mengganggu transisi pemain dari senior ke junior.

SELANGOR United dan Terengganu City FC yang beraksi dalam perlawanan akhir Piala FAM 2018. FOTO OWEE AH CHUN

Lantas, dengan pengenalan had umur B-25 tahun itu, ia dilihat dapat memperbaiki ekosistem bola sepak tanah air untuk menutup kelompongan kehilangan dua generasi muda sebelum ini.

“Kita kena faham, apabila pemain yang habis sekolah pada usia 17 tahun, mereka sudah tentunya mahu melebarkan impian untuk menjadi pemain profesional.

“Tetapi untuk menembusi pasukan atau kelab utama dalam Liga Malaysia (Liga M) bukan mudah, jadi sebab itu pertandingan peringkat belia seperti Piala Belia untuk B-19 dan Piala Presiden untuk B-23 harus dijalankan.

“Namun disebabkan oleh Covid-19 ini, FAM terpaksa batalkan pertandingan itu selama dua tahun dari tahun lepas hingga tahun ini. Ia menyebabkan kita akan kehilangan dua generasi bola sepak yang tidak dapat mengasah dan menunjukkan bakat mereka.

“Tapi bila FAM bercadang untuk anjurkan semula Piala FAM dengan fokus kepada B-25, saya sambut baik kerana ia akan dapat membawa semula keseimbangan kepada ekosistem pembangunan kita terutama bagi membolehkan pemain muda ini menggantikan pemain senior nanti,” katanya yang turut berkhidmat sebagai Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu.

Sebelum ini, menerusi laporan Arena Metro kelmarin, FAM bercadang untuk merancakkan kembali kalendar bola sepak negara khususnya peringkat belia seawal Februari tahun depan dengan menganjurkan Piala Presiden, Piala Belia dan menghidupkan kembali Piala FAM.

Untuk rekod, Piala FAM atau lebih dikenali dengan Liga FAM yang dimainkan sejak 1952 dihentikan hujung 2018 dengan Liga M3 diperkenalkan mulai musim 2019 sekali gus dijadikan lapisan ketiga dalam sistem piramid Liga M.

Zulakbal yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) turut menyarankan, agar FAM menghantar pasukan pencari bakat ke seluruh negara bagi mengesan pemain muda yang boleh diketengahkan di peringkat tertinggi.

“Saya percaya negara kita ada ramai bakat luar biasa di luar sana. Jadi FAM perlu menyediakan pasukan pencari bakat di seluruh negara sepanjang Piala FAM nanti supaya tonggak yang istimewa ini boleh di bawa ke depan dan bermain untuk negara,” katanya.

Dr. Zulakbal
  • HMetro
Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)