• Oleh: Nurul Asyiqin Mardani (UKLK)
  • Disusun: Muhammad Firdaus Bin Ahmad Idris (Pelajar Praktikal Bahagian Komunikasi Koporat)

Tanjong Malim 19 Oktober – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menerusi Unit Kediaman Luar Kampus (UKLK) baru-baru ini telah menganjurkan program Sambutan Maulidur Rasul: Manisnya Kopi Ini. Penyertaan program ini terbuka kepada setiap lapisan masyarakat dan tidak hanya tertumpu kepada mahasiswa/siswi UPSI sahaja.

Prof Madya Ts Dr Che Ghani Che Kob sebagai perasmi program

Menurut Pengetua Unit Kediaman Luar Kampus, Prof Madya Ts. Dr. Che Ghani bin Che Kob berkata tujuan program ini diadakan adalah untuk memperingati jasa dan perjuangan Baginda Rasullulah S.A.W dalam memperjuangkan Islam.

“Dalam situasi pada hari ini, mahasiswa hebat di dalam perkembangan teknologi tetapi disebalik perkembangan teknologi ini, terdapat juga contoh akhlak yang tidak baik dimana ianya digunakan sekadar untuk memberikan kritikan-kritikan di media sosial,” jelasnya ketika majlis perasmian program pada 19 Oktober 2021 menerusi siaran langsung di laman Facebook UKLK.

Encik Muhammad Sadiq bin Mohd Salihoddin selaku penceramah jemputan

Program ini telah menjemput penceramah yang hebat iaitu saudara Muhammad Sadiq bin Mohd Salihoddin merupakan seorang penulis buku yang terkemuka. Antara isu yang telah dibicarakan adalah sifat adil yang ada pada nabi Muhammad SAW dimana ia mampu memberikan pelbagai kejayaan antaranya membantu membela nasib fakir miskin dengan adanya zakat. Seterusnya, dengan hadirnya perkahwinan mampu memberikan keadilan dalam sesebuah hubungan seperti tanggungjawab seorang suami terhadap isterinya dan terdapat limitasi jumlah isteri di dalam sesebuah institusi perkahwinan iaitu sebanyak empat isteri sahaja dibenarkan.  Antara petikan menarik yang disebut oleh beliau ialah “ mahasiswa perlu adil”  yang merujuk kepada ilmu yang dituntut mereka, adakah mahasiswa hanya belajar untuk sijil atau ilmu itu sendiri, adakah mahasiswa hanya menunggu ilmu itu hadir atau mengejar ilmu tersebut. Ilmu ini memberikan kita banyak perkara baru, daripada tak pernah tahu menjadi tahu, daripada tak pernah terlihat akan terzahir. Untuk menjadi insan yang hebat, kita perlulah mempunyai semangat dan kesungguhan dalam mencari ilmu sepertimana nabi pernah membuat rumah untuk sahabat nabi dan dijadikan sebagai pusat pendidikan.

Gambar kenangan AJK bersama penceramah jemputan

          Program Sambutan Maulidur Rasul: Manisnya Kopi Ini tidak terhad kepada mahasiswa/siswi UPSI, namun ianya turut terbuka kepada seluruh masyarakat yang tercinta. Sepanjang program ini berlangsung, sambutan daripada mahasiswa/siswi dapat dilihat apabila mendapat tontonan secara langsung di laman Facebook rasmi UKLK serama 362 tontonan dan telah dikongsi, komen dan mendapat tanda suka sebanyak 192 orang pengguna di laman media sosial tersebut.

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI