oleh: Nurul Arifah Mohd Hanizam (pelajar latihan industri UPSI)

foto: Fisol Ahmad (unit foto Bahagian Komunikasi Korporat UPSI)

Tanjung Malim 20 Mei 2022 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merupakan sebuah institusi pendidikan yang komited dalam mencapai kejayaan di peringkat nasional mahupun antarabangsa, tidak kiralah dalam bidang pendidikan mahupun seni muzik dan persembahan.

Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada pagi ini telah melibatkan Naib Canselor, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan ahli jawatan kuasa pengurusan universiti UPSI antaranya Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa), Profesor Dr. Marzita Binti Puteh, Penasihat Undang-Undang, Mejar (B) Mohd Ramli Bin Othman, Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Profesor Madya Dr. Mohd Izwan bin Shahril, dan Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Profesor Madya Dr. Muhammad Fazli Taib Bin Saearani.

UPSI yang diwakili oleh Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (FMSP) telah menandatangani MoU dengan syarikat ternama dalam industri muzik Malaysia iaitu Luncai Emas Sdn. Bhd. Selari dengan hala tuju Universiti untuk kekal berada di kelompok utama yang disegani, pelbagai skop kerjasama telah dirancang antara kedua-dua pihak sebagai satu usaha untuk mengetengahkan dan meningkatkan kualiti akademik dan kemahiran pelajar dalam bidang seni muzik dan persembahan. Antaranya:

  1. Pelaksanaan program pendidikan melalui penempatan latihan industri dan latihan mengajar pelajar FMSP di Luncai Emas Sdn Bhd;
  2. Perkhidmatan dan kerjasama dalam penghasilan karya seni;  dan
  3. Pertukaran kepakaran antara kedua-dua institusi bagi tujuan pembangunan dan pengembangan ilmu dalam bidang muzik.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dalam ucapannya harini telah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya kepada Jawatankuasa Pelaksana dalam menjayakan majlis pada hari ini. Beliau juga turut menekankan kepentingan dan hala tuju UPSI untuk terus relevan dalam bidang ini.

“Pada tahun ini, UPSI telah melangkah jauh dan berkembang pesat apabila kita berjaya menempatkan institusi tercinta ini dalam kelompok universiti terbaik di Malaysia. Walau bagaimanapun, langkah UPSI masih perlu diperkasakan untuk memastikan matlamat yang digariskan dalam pelan strategik universiti dicapai dengan jayanya,

“Dalam bidang Muzik umpamanya, banyak kejayaan yang telah dicapai oleh pelajar UPSI di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Tidak lupa juga kakitangan akademik Fakulti Seni Muzik Persembahan (FMSP) yang telah menjadi pakar rujuk dari pihak industri,” katanya.

Tambahnya lagi, semua ini adalah berkat komitmen tidak berbelah bagi dari warga universiti terutamanya dari Fakulti Seni Muzik Persembahan (FMSP). Gabungan terbaik pensyarah dan pelajar telah menghasilkan satu kejayaan yang amat membanggakan dan perkara ini mestilah diteruskan pada masa hadapan.

Dato’ Dr M. Nasir yang turut hadir sama dalam majlis ini telah menyifatkan hubungan yang telah terjalin sejak 21 April 2016 ini sebagai platform yang menyalurkan pengalaman selama 30 tahun dalam industri muzik. Pelbagai aktiviti seni yang telah diadakan seperti Circle M, Pelancaran Album Spider, Latihan Industri serta latihan “hands on” konsert beliau sendiri.

“Saya percaya muzik tidak akan mati, Cuma peredaran zaman yang menjadikan muzik digubah dan didagangkan mengikut corak masakini yang bersesuaian dengan kehendak dunia digital hari ini. Muzik kita telah melangkaui dunia global dan banyak lagi yang boleh diterokai dan pada masa yang sama penjanaan pendapatan royalti daripada pelbagai media dan platform,” ujarnya.

Sebelum mengakhiri ucapannya, Dato’ M.Nasir menggambarkan sebuah kerjasama antara dua pihak ini sebagai kerjasama yang lebih rancak dengan kepelbagaian aktiviti dan pelbagai jenis kerjasama lagi pada masa yang akan datang.

Diharapkan kerjasama dan semangat profesionalisme yang tinggi antara kedua-dua pihak, akan dapat memastikan aspirasi negara tercapai dalam membangunkan masyarakat berilmu yang akan dapat memacu negara mencapai matlamatnya yang digariskan.

Baca lagi berita diterbitkan media di: Suara Merdeka

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)