oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail

foto: Fisol Ahmad

Tanjung Malim – Pelaksanaan kerjasama program empowerNCER Akademik@Perak antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di 30 buah daerah Koridor Utara (NCER) memberi manfaat lebih 67,935 pelajar sekolah.

Menurut Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, menerusi pelbagai gabungan kerjasama antara pelbagai agensi menjadikan model program empowerNCER di Perak mampu merintis kejayaan pembangunan modal insan terutama golongan pelajar sasaran B40 untuk mengurangkan kadar pelajar keciciran di seluruh negara.

“Seseorang pelajar itu harus dibekalkan dengan pelbagai keperluan dan sokongan menerusi pelaksanaan program seumpama bagi meningkatkan pembangunan sahsiah modal insan. Dengan penglibatan kerjasama (kepakaran) UPSI dan NCIA bersama agensi-agensi terlibat membantu KPM menjadikan 4.5 juta anak-anak kita lebih sihat dengan persekitaran yang lebih selamat dengan galakan-galakan inisiatif seperti 3R@Green Program di sekolah dan program-program lain,” jelasnya ketika merasmikan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri empowerNCER Akademik dan menyampaikan sijil penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negari, Pejabat Pendidikan Daerah, 18 orang guru sekolah menengah dan 16 orang guru sekolah menengah pelajar Orang Asli,  di Hotel Scholar Suite, Proton City hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UPSI, Profesor Md Amin Md Taff berkata,  lebih 200 program telah disusun bagi memantapkan kemahiran insaniah murid sejak dilaksanakan sekitar tahun 2019 hingga tahun 2021.

Mah (tiga dari kiri) menyampaikan penyerahan Sijil Kolaborasi Sekolah kepada salah seorang peserta sambil diperhatikan Md Amin (dua dari kanan) dan Shadee (kanan sekali).

“Seramai 2750 murid SPM dan 1800 murid orang asli 7 daerah dan anak-anak kalangan B40 di Daerah Muallim, Batang Padang, Hilir Perak, Kampar, Kinta, Kuala Kangsar dan Hulu Perak mendapat sokongan daripada pakar menerusi penyediaan modul akademik dan pengayaan diri,” jelasnya.

Sementara itu Pengarah Modal Insan dan Sekretariat, NCIA, Datin Shahdee Ahmad turut hadir berkata NCIA juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Perak, Pejabat Pendidikan Daerah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Daerah dan agensi-agensi swassa melalui perkongsian maklumat golongan sasaran selain melibatkan peranan ibubapa dalam membantu peningkatan kesedaran pendidikan terhadap anak-anak mereka.

“Pelaksanaan program modal insan berteraskan rakyat ini selaras dengan sasaaran Rancangan Malaysia ke-12 ke arah membasmi kemiskinan tegar menjelang 2025 dan Pelan Pemulihan Nasional oleh kerajaan,” tambahnya lanjut.

Program empowerNCER Akademik@Perak yang sudah masuk fasa kedua melibatkan seramai 1200 pelajar tingkatan 5 dan 600 orang murid Orang Asli tahun 6 turut mendapat tajaan daripada Yayasan Petronas.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my