oleh : Nor Hayati Binti Aziz (UKLK)
Kampar – Pada 21-22 Mei 2022 telah berlangsung program Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli , Sungai Gapes Sungai Siput Selatan Kampar anjuran Majlis Tertinggi Majlis Mahasiswa Kediaman Luar Kampus dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli, Jabatan Agama Islam Perak, Pusat Kesihatan UPSI dan NGO, Street Dakwah.
Program ini telah disertai oleh 30 orang Pelajar Unit Kediaman Luar Kampus, 20 orang NGO dan 200 orang masyarakat orang asli. Program ini berkonsepkan khidmat sosial kepada masyarakat setempat dan bermacam-macam aktiviti yang menarik telah dirancang antaranya sukaneka, kelas memasak , gotong royong dan aktiviti minda. Menurut Prof Madya Ts. Dr Che Ghani Che Kob , Pengetua Unit Luar Kampus, program sebegini wajar diadakan secara berkala bagi memberi pendedahan kepada pelajar UPSI tentang adat dan budaya masyarakat orang asli. Ia juga bertujuan melahirkan pelajar yang mempunyai kemahiran nilai, sikap, etika dan profesionalisme serta mendedahkan kepada pelajar kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan.
Penasihat Program, Puan Nor hayati Aziz berkata beliau amat bersyukur kerana program ini telah berlangsung dengan jayanya yang mensasarkan satu objektif yang tuntas dengan satu matlamat yang sama dalam melatih pelajar dalam kemahiran sosial dan kebertanggungjawaban serta memperkemaskan lagi kemahiran komunikasi. Seterusnya, program sebegini dapat kita mengenalpasti masalah orang asli dan membantu mereka dalam meningkatkan mutu kehidupan dan sosio-ekonomi. Program yang berkonsepkan khidmat sosial ini mampu memberi kesan yang baik dan terus menjadi pedoman dalam kehidupan.
Program ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Sohibul Fadzilah Tuan Hj. Harith Fadzilah Abdul Halim. Dalam ucapannya beliau mengharapkan supaya program sebegini dapat diteruskan lagi dan lebih ramai pelajar universiti dapat turut serta dan membantu masyarakat orang asli terutamanya dari sudut akademik .
Catatan: