oleh: UCTC
Muallim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bertindak proaktif dalam membantu komuniti di daerah Muallim bagi meningkatkan kualiti dan mutu dalam kehidupan sesebuah masyarakat. Justeru, Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Fakulti Teknikal dan Vokasional UPSI telah memulakan bengkel pembuatan pau kepada penduduk Kampung Pauh, Behrang di Daerah Muallim.
Pengarah UCTC, Prof. Madya Dr. Mohd Azlan Nafiah berkata, program ini dengan tema #1Kampung1Produk bertujuan berkongsi kepakaran yang ada di UPSI bersama komuniti luar bagi membantu meningkatkan taraf hidup terutama golongan B40 dan surirumah. Program ini akan dilaksanakan sepanjang tahun secara berperingkat di Daerah Muallim mengikut kehendak dan minat komuniti sekitar dengan kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Muallim. Beliau berharap dengan adanya program sebegini dapat membantu komuniti sekitar UPSI bagi meningkatkan pendapatan isi rumah dan secara tidak langsung ekonomi negara.

Untuk peringkat pertama ini, Dr. Suriani Mohamed, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) FTV UPSI yang juga merupakan pengusaha Pau Sedili atau lebih dikenali sebagai Pau UPSI menjadi tunggak utama dalam memberi pendedahan mengenai proses pembuatan pau kepada komuniti Kampung Pauh, Behrang. Menurut beliau, makanan seperti kuih pau mempunyai potensi untuk dikomersialkan dalam bentuk sejuk beku bagi menjana pendapatan terutamanya kepada penduduk kampung.

Kursus pembuatan pau yang dijalankan ini memberi pendedahan mengenai teknik pembuatan yang betul dalam menghasilkan pau yang berkualiti. Melalui kursus ini, peserta mempelajari kemahiran pembuatan pau mengikut modul yang telah dibangunkan seperti pengetahuan tentang bahan, proses pembuatan, pengiraan kos dan pemasaran produk. Secara tidak langsung, kursus ini memberi peluang kepada suri rumah dan penduduk Kampung Pauh menjana pendapatan sampingan di samping mengekalkan makanan warisan dalam komuniti Muallim.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Madya Dr. Norkhalid Salimin berkata, melalui program ini kita dapat melahirkan lebih ramai pengusaha pau di sekitar Muallim selain membantu suri rumah dan penduduk kampung menjana pendapatan bagi menyahut seruan kerajaan iaitu “Satu Kampung, Satu Produk”.