oleh: Nur Asyikin Ismail (Unit Penerbitan NCDRC)
Memupuk semangat patriotik dalam kalangan generasi muda perlu dipraktikkan sejak dari awal umur lagi. Bagi menyahut semangat patriotik dalam diri kanak-kanak, Taska dan Tadika NCDRC UPSI telah mengadakan program sambutan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke 65. Majlis pelancaran telah dirasmikan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Norazilawati Abdullah (Timb. Pengarah NCDRC) dan YBrs. Dr. Masayu Dzainudin (Timb. Pengarah NCDRC) ini disambut meriah oleh kanak-kanak Taska dan Tadika
dengan nyanyian lagu Negaraku dan senamrobik bersama pendidik NCDRC.
Setiap tahun NCDRC tidak ketinggalan mengadakan pelbagai aktiviti kemerdekaan kepada kanak-kanak bagi tujuan memupuk nilai patriotisme cinta akan negara dalam diri mereka bermula dari
bangku sekolah lagi. Antara aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan adala Pertandingan Potrait Merdeka (22 Ogos 2022 –28 Ogos 2022), Senam Merdeka (24 Ogos 2022), Pertandingan Filem Pendek Merdeka (22 Ogos 2022 –28 Ogos 2022), Hari Pakaian Tradisional (26 Ogos 2022), Sesi Perjurian Pertandingan (29 Ogos 2022), Tayangan Filem Pendek Merdeka (30 Ogos 2022), Majlis Penutup Sambutan Bulan Kemerdekaan, (1 September 2022).
Aktiviti setiap tahun NCDRC ini bertujuan memupuk nilai patriotisme cinta akan negara dalam diri kanak-kanak dari bangku sekolah lagi agar mereka mudah mendalami dan memahami lebih awal dalam diri mereka akan semangat cinta akan tanah air bertuah kita sendiri.
Oleh yang demikian, amalan sebegini penting kerana kita dapat melahirkan masyarakat yang sentiasa cinta pada negara dan tidak akan melakukan perkara-perkara yang boleh mencemarkan nama baik negara. Kini, adalah masa untuk kita menerapkan semangat patriotik kepada anak-anak kita pula supaya mereka menjadi generasi yang memartabatkan bangsa dan negara.