oleh: Afifah Adriana Aznan

GUNUNG SEMANGGOL, PERAK – 20 SEPTEMBER 2022 – Banjir kilat yang berlaku akibat hujan lebat yang berterusan selama dua hari bermula pada 17 September 2022 telah menjejaskan kawasan penduduk di Gunung Semanggol, Perak. Cakna akan nasib yang menimpa penduduk, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) segera mengatur gerak ResQ Team UPSI bagi meneruskan misi bantuan pasca banjir dalam membantu membersihkan kawasan yang terjejas.

Sukarelawan ResQ Team UPSI bersatu padu dan bergotong-royong dalam menyalurkan khidmat tenaga bagi melaksanakan misi pasca banjir di Ma’ahad Al-Ehya Asshariff, Gunung Semanggol, Perak dan beberapa buah rumah yang dinaiki air lumpur. Keprihatinan dan semangat kesukarelawanan yang ditonjolkan terhadap mangsa banjir sedikit sebanyak dapat membantu mengurangi kesan bencana yang melanda dan meringankan beban mangsa banjir.

ResQ Team UPSI dalam misi bantuan pada kali ini diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong bersama-sama 35 orang sukarelawan yang terdiri daripada lapan orang kakitangan dan 27 orang mahasiswa UPSI dengan kekuatan jentera yang terdiri daripada dua buah kenderaan pacuan empat roda, 1 unit lori dan bas, dan pelbagai peralatan pembersihan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Norkhalid Salimin berkata, kesungguhan sukarelawan ResQ Team UPSI dalam membantu masyarakat yang ditimpa musibah ini adalah satu inisiatif yang baik di samping dapat meningkatkan nilai murni serta semangat kesukarelawanan di kalangan pelajar dan warga universiti.

Naib Canselor UPSI, Prof. Dato’ Dr. Md Amin Md Taff turut menghargai dan berterima kasih kepada semua sukarelawan atas khidmat bakti dan komitmen yang diberikan. Beliau menzahirkan rasa bangga dan berharap agar ResQ Team UPSI terus bersemangat dan tidak berasa penat atau lelah untuk berbakti kepada masyarakat demi memastikan kebajikan dan keselamatan masyarakat dititikberatkan serta mencerminkan keprihatinan warga universiti terhadap masyarakat yang ditimpa bencana.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my