oleh: Nor Hayati Binti Aziz

Kelab Sahabat Ulul Albab, UPSI mengorak selangkah ke hadapan dengan menganjurkan Program UPSI KeluargaKu, Keluarga Malaysia (UPK3M) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Majlis Mahasiswa Kolej (MMK) dan Persatuan-persatuan Islam, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Program yang berlangsung selama satu semester ini telah di ilhamkan oleh Y.Brs. Prof. Dr. Norkhalid Salimin, Timbalan Naib Canselor (HEPA) dengan tujuan pelaksanaan program ini mampu memenuhi harapan UPSI dalam merealisasikan pembangunan modal insan terutamanya dari aspek pembangunan akhlak serta keperibadian diri disamping membudayakan nilai-nilai moral dalam masyarakat

Aktiviti kumpulan bersama team fasilitator UPK3M

Program yang berterusan pada setiap minggu ini melibatkan semua pelajar Ijazah Sarjana Muda dan Diploma setiap sesi ambilan baharu. Para pelajar telah diterapkan dengan modul-modul yang berteraskan kepada elemen Qalbu yang mengfokuskan kepada rohani, elemen ensiklopedik yang mengfokuskan kemahiran berkomunikasi dan elemen Ijtihadik yang memberi penekanan kepada penyelesaian masalah. Penasihat KeSUA, Pn. Nor Hayati Aziz berpendapat bahawa dengan penerapan elemen-elemen ini ianya sedikit sebanyak mampu untuk membentuk jati diri mahasiswa UPSI yang cemerlang. 

Program UPK3M ini dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih KeSUA disamping panel Ulul Albab yang hebat seperti Abang Bard, pakar motivasi yang membawa modul Mengaum Bak Wira dan Encik Norrul Izuhan, Master Coach NLP IPTA yang membawa modul Neuro Linguistic Programming.

Bagi mewujudkan nilai kekeluargaan dalam diri pelajar, UPK3M turut membahagikan pelajar kepada beberapa kumpulan dimana setiap daripada mereka adalah berbeza bidang pengajian. Pengarah Pusat Ulul Albab, Prof. Dr. Abdul Halim Ali menegaskan betapa pentingnya nilai kekeluargaan yang dibina diawal alam universiti ini. Tambah beliau lagi, program seperti ini dilihat dapat membendung daripada berlakunya gejala-gejala sosial yang tidak sihat di universiti. “Apabila mereka (pelajar) menghabiskan masa minggu mereka dengan program-program berfaedah, maka sudah pasti masalah sosial yang kita tak inginkan untuk berlaku akan berkurangan”.

Menurut Pengarah Program, Faizul Nazrul Hamzah YDP KeSUA, penghayatan program UPK3M didapati berada pada tahap yang memuaskan dengan maklumbalas peserta bersetuju bahawa sahsiah diri yang positif dapat dibentuk melalui program-program mingguan yang mereka hadiri. Antaranya ialah mereka lebih hormat kepada pensyarah dan rakan-rakan, menggunakan bahasa yang sopan ketika berkomunikasi serta memperbaiki perwatakan mereka supaya lebih baik dan berperibadi mulia.

Program UPK3M ini dilihat mendapat sambutan yang baik daripada kalangan pelajar yang hadir. Diharapkan program ini dapat terus berlangsung untuk kohort ambilan pelajar baharu yang seterusnya.

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my