oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
foto: Fisol Ahmad
Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini telah mengagihkan sebanyak 7810 unit peranti pintar menerusi Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia bermula 27 Oktober hingga 30 Oktober 2022.
Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pihaknya menerusi Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) telah melakukan saringan kelayakan melibatkan mahasiswa warganegara Malaysia dalam kelompok keluarga B40 iaitu keluarga yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM4,850 dan menuntut di peringkat pengajian Diploma, Diploma Lanjutan dan Ijazah Sarjana Muda.
“Melalui pelaksanaan Program Perantisiswa Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Noraini Ahmad maka wajarlah mahasiswa hari ini perlu berterima kasih atas inisiatif pemimpin negara untuk melestarikan perkembangan teknologi dalam pendidikan,” jelasnya ketika berucap semasa Majlis Penyerahan Perantisiswa Keluarga Malaysia kepada 20 kelompok mahasiswa penerima pertama di Pusat Pelajar, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.
Md Amin turut berpesan kepada para penerima untuk memanfaatkan sebaik-baiknya peranti selain belajar menghargai sumbangan yang diberikan oleh kerajaan di mana hasilnya daripada titik peluh pembayar cukai dari kalangan rakyat Malaysia sendiri.
“Kita harus lahirkan warga Malaysia yang sayang dan hargai tanahairnya serta perlu sentiasa ingat untuk kembali menyumbang jasa dan keringat kelak, bukan meminta-minta yang akhirnya tidak akan membawa kita ke mana-mana,” tegasnya menegah perbuatan segelintir pelajar yang menjual kembali perantisiswa untuk naiktaraf peranti yang lebih mahal yang viral baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata sebanyak 2643 peranti berjaya didaftarkan dan diagihkan melibatkan empat buah fakulti pada 27 Oktober lalu, manakala 2629 peranti diagihkan pada dua buah fakulti pada 28 Oktober manakala baki selebihnya 2538 peranti akan diagihkan esok hingga selesai 30 Oktober di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.
Bakal beri banyak manfaat semasa pengajian – Rahiq Mohamad Rodi
Salah seorang penerima perantisiswa, mahasiswi semester empat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz Al-Quran dan Qiraat Rahiq Mohamad Rodi, 23, yang berasal dari Alor Setar Kedah memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih atas inisiatif Program Perantisiswa Keluarga Malaysia yang bakal memberi banyak memberi manfaaat kepada seorang mahasiswi sepertinya.
“Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira dan teruja, sekaligus banyak membantu proses pengajian saya di sini seperti menyimpan nota kuliah, mencari maklumat mahupun menyelesaikan tugasan seharian sebagai pelajar,” jelasnya ketika ditemui.