oleh: Nur Syamirah Shamsuddin (PuLaMI)
Tanjung Malim 30 November 2022 – Pusat Latihan Mengajar dan Industri (PuLaMI) telah menganjurkan Hari Latihan Industri UPSI 2022 yang bertempat di Ruang Legar dan Dewan Konvensyen Bangunan E-Learning.
Hari Latihan Industri UPSI 2022 telah dilaksanakan dengan kerjasama 16 buah agensi kerajaan dan swasta di Malaysia bagi membantu mendapatkan penempatan serta melancarkan proses latihan industri pelajar di syarikat yang terlibat dengan bidang yang berkaitan.
Selain itu, program ini juga diadakan bagi memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan kerjaya yang diplih selepas menajalani tempoh latihan industri.
Antara 16 agensi yang terlibat adalah Absolute Wellness, Ana Muslim Sdn Bhd, Excel Qhalif Sdn Bhd, Fast Track Academy, Go Coach, Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabil Sdn Bhd (Global Business Center), Kinexure Sdn Bhd, Media Smart Resources Sdn. Bhd, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Pro Mmr
Sports Recovery, So Stretch, UPSI Holdings Sdn. Bhd., VFive Group Sdn Bhd, Kizzu Kids Theraphy dan Aquasplash Academy.
Seramai 982 orang pelajar UPSI dari setiap fakulti telah menghadiri dan menyertai program ini. Antara aktiviti-aktiviti yang diselitkan semasa penganjuran program ini adalah taklimat kerjaya daripada Nasrenadya binti Mohd Nasri selaku duta Graduan dan Bryan Lim Seng Wei wakil daripada Jobstreet, pameran kerjaya serta temuduga terbuka oleh pihak industri.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPSI, Profesor Dr. Marzita Puteh pelaksanaan program ini telah memberi satu impak yang baik kepada pelajar-pelajar dalam mencapai matlamat dan memperoleh penempatan latihan industri yang bersesuaian dengan bidang yang diceburi.
“Program ini boleh dijadikan satu aktiviti tahunan universiti dengan kerjasama dan kolaborasi daripada industri-industri di seluruh Malaysia setelah menerima sambutan yang positif dan baik daripada pelajar-pelajar serta daripada pihak industri sendiri,” jelasnya
Hari Latihan Industri 2022 turut dijayakan bersama dengan kerjasama Persatuan Multimedia Kreatif (PMK) dan Persatuan Kejuruteraan Perisian (PKP) dari Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK) serta kolaborasi Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Ungku Omar (KUO).