oleh: Muhammad Safwan Ismail (Pusat Islam UPSI)
Tanjung Malim 13 Disember 2022 : Masjid Kilang Proton dijangka bakal dibuka kepada Jemaah yang terdiri daripada kakitangan kilang Proton dalam masa terdekat. Pihak pengurusan Masjid Kilang Proton telah mengambil inisiatif dengan mengadakan sesi bimbingan, latihan dan praktikal untuk Imam dan Bilal Masjid Kilang Proton di Masjid Al-Mursyidin, UPSI. Sesi ini telah dikendalikan oleh ketua Imam Masjid Al-Mursyidin, Ustaz Muhammad Majdan Ismail.
Sesi bimbingan, latihan dan praktikal ini merangkumi latihan memimpin Jemaah dalam solat, membaca khutbah serta latihan uji suara laungan azan bagi memastikan persiapan yang cukup sebelum bertugas sepenuhnya di Masjid Kilang Proton yang bakal beroperasi dalam tempoh terdekat. Seramai 4 orang Imam dan Bilal yang dilantik telah menghadiri sesi bimbingan ini.
Selain itu, bagi memastikan Imam dan Bilal yang telah melalui sesi bimbingan, latihan dan praktikal ini berkeyakinan serta bersedia sepenuhnya, mereka akan ditugaskan selama dua minggu secara bergilir yang melibatkan tugasan pada hari jumaat di Masjid Al-Mursyidin. Semoga inisiatif pembelajaran secara praktikal ini mampu memberikan persediaan kepada Imam dan Bilal Masjid Kilang Proton sebelum bertugas sepenuhnya apabila Masjid Kilang Proton telah beroperasi untuk seluruh warga kerja kilang Proton.