oleh: Nursyafiqah Abdul Halim (Pelajar Latihan Industri UPSI)

foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid

Tanjong Malim – Menyedari penyelidikan mampu meningkatkan kualiti hidup masyarakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan terus berusaha menjadi sebuah institusi penyelidikan dan pusat penerbitan sains teknologi serta sains sosial yang unggul, cemerlang dan sentiasa relevan dalam memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr. Suriani Abu Bakar, UPSI akan terus memberi sokongan kepada para kakitangan akademik bukan sekadar menjadi penyelidik, tetapi bertindak sebagai medium ilmu yang dipertanggungjawabkan untuk menyebarkan hasil kajian penyelidikan kepada masyarakat.

“Sebagai pusat pengajian pendidikan terulung negara, UPSI sentiasa memperkasa bidang penyelidikan dan berusaha untuk meningkatkan penarafan universiti di peringkat antarabangsa seperti penarafan QS University Ranking dan Times Higher Education (THE).”

“Pelbagai geran ditawarkan dan ditambah dari masa ke semasa,”

“Terdapat enam jenis geran penyelidikan universiti yang ditawarkan di UPSI iaitu Geran Penyelidikan Universiti Berasaskan Pendidikan (GPUBP), Geran Penyelidikan Universiti Fundamental (GPUF), Geran Penyelidikan Universiti Rising Star, Geran Galakan Pensyarah Baru (GGPU), Geran Penyelidikan Sempadan (GPS) dan Geran Penyelidikan Universiti Inovasi PdP” jelasnya ketika ucapan aluan Majlis Ramah Mesra Bersama Pengarah Bahagian Kecemerlangan Penyelidikan IPT (BKPI) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Menurut Suriani lagi, UPSI juga terus meneraju gerak kerja matlamat pembangunan mampan (SDGs) dan Green Campus ke arah kecemerlangan terutamanya kedudukan UPSI di bawah THE IMPACT RANKING dan UI Greenmetric World University Ranking.

“Pihak universiti juga memberi fokus terhadap matlamat SDGs yang ke empat iaitu memastikan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua,”

Forum ‘An Insight Into FRGS  membincangkan berkenaan pengalaman dan kepakaran ahli-ahli panel berkaitan trend dan isu penyelidikan fundamental masa kini.

“Menerusi matlamat itu, UPSI memberi fokus terhadap bidang penyelidikan dalam kualiti sekolah menengah dan rendah, Pendidikan Awal Kanak-Kanak, TVET dan sebagainya.” Tambahnya lagi.

Turut hadir, Pengarah BKPI KPT Profesor Madya Dr. Shahiron Shahidan menyampaikan taklimat berkaitan dana penyelidikan fundamental menerusi skop pengenalan unit pentadbirannya serta pengenalan dan tadbir urus dana penyelidikan fundamental (DPF).

“Para penyelidik disarankan untuk tidak ‘syok sendiri’ ketika mengemukakan kertas cadangan penyelidikan sebaliknya perlu menjurus kepada salah satu daripada sembilan fokus dalam rancangan Malaysia kedua belas (RMKE-12) sebagai dokumen rujukan program dana penyelidikan fundamental KPT” jelasnya lagi.

Dalam majlis yang sama, Shahiron turut menjadi salah seorang panel forum skim geran penyelidikan fundamental (FGRS) membincangkan berkenaan pengalaman dan kepakaran ahli-ahli panel berkaitan trend dan isu penyelidikan fundamental masa kini, kesalahan-kesalahan biasa dalam penyediaan proposal dan bagaimana untuk menyerlahkan elemen fundamental dalam kertas kerja.

Forum yang berlangsung selama satu jam itu turut dihadiri oleh dua panel iaitu ketua domain sains sosial Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ruslan Rainis dan juga ketua domain ICT Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Hajah Ku Ruhana Ku Mahamud.

Nota Pengarang: Pembuka tirai baik buat para pejuang penyelidik UPSI untuk terus terbang ke langit! Chaiyok!

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my