oleh: Dr Sharul Effendy Janudin (EDGE UPSI)
Keberadaan UPSI sebagai Institusi Pendidikan Tinggi dalam Daerah Muallim dirasai sebagai pemangkin pembangunan Bandar Belia Muallim.
Merealisasikan peranan universiti sebagai pemangkin perubahan ekonomi masyarakat, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (EDGE) telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan program pembangunan keusahawanan di peringkat sekolah menengah yang dinamakan Usahawan Lokal @ KPM.
Objektif utama program Usahawan Lokal @ KPM adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai keusahawanan dan pengurusan perniagaan sehingga mereka boleh menguruskan perniagaan yang dikendalikan di sekolah masing-masing.
Tempoh pelaksanaan program ini telah bermula dari 1 Mei 2022 sehingga 31 Mac 2023.
Menurut Pengarah EDGE, Dr Sharul Effendy Janudin yang turut sama mengetuai program ini, sebanyak enam buah sekolah daripada Daerah Batang Padang dan enam buah sekolah Daerah Hulu Selangor telah terlibat dalam program ini melibatkan 96 orang pelajar dan 12 orang guru yang menjadi mentor syarikat pelajar.
Para peserta telah menjalani latihan secara berstruktur melalui lima fasa bermula dengan pemilihan pelajar di peringkat sekolah, Kursus Asas Keusahawanan, Kursus Bidang Tumpuan ( cendawan tiram dan bakeri), Usahawan Lokal @ KPM Business Challenge dan sesi pembentangan pencapaian syarikat.
SMK Sg. Keruit, Trolak telah dipilih sebagai pemenang tempat pertama pada jerayawara yang diadakan pada 13 Febuari 2023.
Tempat kedua pula dimenangi oleh SMK Ampang Pecah, Kuala Kubu Bharu manakala tempat ketiga SMK Kuala Kubu Bharu.
Pemilihan pemenang adalah berdasarkan penilaian yang dibuat terhadap latarbelakang syarikat, aktiviti yang dilaksanakan, pencapaian kewangan, pencapaian bukan kewangan, penglibatan pemegang taruh dan perancangan kelestarian syarikat.