Oleh: Syafika Asreena Shari (PEGAWAI UMEDIA JABATAN BENDAHARI)
TANJONG MALIM, 24 FEBRUARI – UPSI Payday Bazaar dianjurkan Jabatan Bendahari, baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan dari kalangan pelajar dan kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta orang awam di sekitar Mualim.
Menurut Bendahari UPSI, Mohd Najib Mohamed, inisiatif seperti ini membuka peluang perniagaan bagi membantu menjana pendapatan kakitangan dan pelajar serta para peniaga kecil-kecilan komuniti Muallim.
“Konsep Payday Bazaar dianjurkan eksklusif selama satu hari saja pada setiap bulan ketika hari pembayaran gaji seperti dinyatakan surat pekeliling Jabatan Akauntan Negara Malaysia,”
“Payday Bazaar juga beroperasi di Atrium Bangunan Canselori UPSI turut melibatkan seramai 29 buah gerai menjadi salah satu platform bagi pelajar dan kakitangan serta komuniti setempat menjana pendapatan melalui aktiviti jualan produk mereka, sekaligus dapat mempromosi budaya keusahawanan di kalangan warga UPSI” jelasnya dalam suatu kenyataan.
Menurut Mohd Najib lagi, program seperti ini juga merupakan salah satu platform bagi menjual dan mempromosikan hasil universiti sama ada daripada aktiviti pertanian, penyelidikan mahupun pengkomersialan.
“Secara tidak langsung, ruang yang disediakan dapat mendidik para pelajar untuk menjadi usahawan dalam bidang perniagaan dengan mempraktikkan teori keusahawanan yang telah dipelajari ketika berada di dalam kelas,” tambahnya lagi.
Nota Pengarang: Lokasi UPSI’s Payday Bazaar dah dekat dengan pejabat E-Pena. Jika berselisih bahu, jangan segan-segan, lempar-lemparkanlah sedikit senyuman pada kami.