Oleh : Saleha Sabran (Pegawai UMedia BHEA) dan Noraini Aminuddin

TANJONG MALIM 12 Mac 2023 – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menerima kemasukan seramai 545 orang pelajar baharu daripada 4,501 permohonan melibatkan sebanyak 15 program untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda (ISM) bagi kemasukan Sesi 2 2022/2023 bertempat di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS).

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Profesor Dr. Norkhalid Salimin, sesi pendaftaran pelajar telah diuruskan oleh kakitangan UPSI dengan kerjasama Sekretariat sukarelawan siswa seperti Rakan Milenia, Majlis Mahasiswa Kolej Kediaman dan Majlis Perwakilan Mahasiswa UPSI bagi melancarkan proses pendaftaran tersebut.

“UPSI telah menyediakan penempatan di dua buah kolej iaitu Kolej Ungku Omar (KUO) seramai 318  pelajar dan Kolej Kediaman Harun Aminurrashid (KHAR) seramai 227 pelajar yang melibatkan tiga sesi pendaftaran bermula jam 8.00 pagi hingga 4.30 petang,”.

“Ia juga merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UPSI iaitu 32 orang atlet sukan dan seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU),” ujar beliau lagi semasa sesi pendaftaran di UPSI hari ini.

Menurut Norkhalid lagi, para mahasiswa ini akan mengikuti Minggu Suai Mesra sehingga 15 Mac sebagai persiapan menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan kampus.

Mahukan anak teruskan cita-cita ibu – bapa pelajar

Bapa pelajar, Muhamad Osman, 45, dari Pasir Puteh Kelantan berpuas hati dengan proses pendaftaran anaknya Siti Nur Insyiratul Nadrah Muhamad yang mendaftar bagi jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Islam) dan berharap anak sulung daripada tiga orang adik beradik itu dapat melanjutkan pelajaran dengan baik di kampus.

Muhamad (dua dari kiri) bersama keluarganya semasa pendaftaran pelajar baru ISMP di UPSI

“Seperti ibu bapa yang lain besarlah harapan kami untuk melihat anak kami berjaya menggenggam segulung ijazah dan bergraduat sebagai seorang guru seperti yang dicita-citakan ibunya Siti Norashimah Mustafa, dalam pendidikan Islam,” jelasnya selepas sesi pendaftaran. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI