Oleh : Ali Zainal Abidin Lokman (Pegawai UMedia Pusat Ko)

11 Mac 2023

Tanjong Malim- Bidang rekreasi luar seperti ecotourism dan edutourism semakin mendapat perhatian masyarakat Malaysia.

Menyedari akan kepentingan melahirkan masyarakat sihat dengan pendidikan formal yang lebih berstruktur seperti pelaksanaan aktiviti pelancongan yang lebih selamat dan profesional, Universiti Pendidikan Sultan Idris Adventure Park (UAP) ditubuhkan untuk menyokong usaha tersebut.

Menurut Timbalan Naib Canselor UPSI Hal Ehwal Pelajar dan  Alumni (HEPA), Profesor Dr Norkhalid Salimin, bagi menyelia urus bidang tersebut, Adventure Leadership & Outdoor Recreation Academy (AURORA UPSI) telah ditubuhkan pada tahun 2020.

“Akademi ini menyediakan lokasi serta kemudahan untuk melakukan aktiviti rekreasi iaitu di UPSI Adventure Park menjalankan latihan berstruktur, kursus profesional, pusat pengkalan data, menjalankan kajian, penerbitan, perundingan serta menjadi pusat rujukan dalam bidang rekreasi di peringkat kebangsaan,” jelasnya ketika berucap di Majlis Makan Malam bersama lebih 31 buah rakan strategik pelanggan UAP tahun 2022 seluruh tanahair malam tadi di Hotel Scholar Suite, Kampus Sultan Azlan Shah di sini.

Menurut Norkhalid lagi, penubuhan ini merupakan satu inisiatif UPSI bagi mengembangkan lagi aktiviti pengkomersialan berkaitan bidang pendidikan rekreasi, seterusnya menjana pendapatan universiti melalui penawaran kursus-kursus profesional jangka pendek.

Turut hadir, Pengarah Pusat Kokurikulum UPSI, Dr Mazuki Mohd Yasim berkata, UAP menawarkan pakej pengukuhan pasukan dan perkhemahan bagi agensi dan sekolah dengan tarikan utama seperti aktiviti tali tinggi, abseiling, flying fox, wall climbing dan high element.

Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataannya berkata, penubuhan AURORA ini bertepatan dengan Pelan Strategik (2018-2020) UPSI iaitu Teras keempat Kelestarian Jaringan Industri dan Komuniti serta Teras kelima iaitu Keutuhan Tadbir Urus yang akan mampu membantu universiti muncul sebagai Universiti Peneraju Kebitaraan Pendidikan. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)