Teks & video: Noraini Aminuddin
Foto: Fisol Ahmad
Tanjong Malim, 29 Mac 2023 – Fakulti Teknikal dan Vokasional (FTV) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini telah menjayakan majlis bagi perasmian Butik Inkubator FTV, Butik Benang yang bertempat di Bangunan Bitarasiwa Kampus Sultan Abdul Jalil Shah sebagai salah satu inisiatif dari FTV dalam program earn & learn untuk kemenjadian pelajar.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff, sebagai universiti peneraju kebitaraan Pendidikan, dengan tertubuhnya butik inkubator ini para pelajar akan berpeluang melaksanakan idea yang kreatif, hasil ilmu yang dipelajari dalam kurikulum untuk diterjemahkan di butik ini serta produk yang dihasilkan akan menjadi tanda aras baharu bagi membuktikan kepada masyarakat luar dan dunia bahawa mahasiswa UPSI mampu melahirkan fesyen pakaian berkualiti bertaraf dunia.
“Dengan penubuhan butik ini, para pelajar didedahkan dengan erti kehidupan sebenar bagaimana cara untuk menghadapi kerenah pelanggan selain daripada pembelajaran teori, impian dan igauan”, katanya ketika merasmikan butik tersebut.
“Dunia fesyen dan rekabentuk fesyen pada hari ini sudah bergerak ke arah teknologi untuk menghasilkan produk berkualiti dengan harapan ianya dapat membantu setiap pusat tanggungjawab, persatuan yang ada di UPSI untuk mendapatkan tempahan produk fesyen yang berkualiti daripada pelajar dan kakitangan FTV”, ujarnya lagi.
Turut hadir, Dekan FTV Dr. Mohd Azlan Mohammad Hussain berkata ini adalah selaras dengan objektif TVETPreneur iaitu untuk menghubungkan Universiti – Industri – Keusahawanan.
“Hasil daripada inisiatif ini akan dapat melahirkan pelajar yang berminda keusahawanan yang akan menggunakan pengalaman dan kebolehan yang dipelajari di butik ini untuk digunakan semasa mereka bergraduat dan melaksanakan perkara yang sama terutamanya di sekolah yang akan ditempatkan serta membina satu ekosistem keusahawanan yang kuat berdasarkan ilmu pengetahuan dalam bidang berkenaan”, jelas beliau.
“Butik ini juga akan menjadi pusat penyelidikan kepada pensyarah dalam bidang untuk melahirkan penemuan-penemuan baharu dalam fesyen, rekabentuk dan keusahawanan yang akan meningkatkan kecemerlangan pensyarah untuk dilaporkan kepada dunia”, jelasnya lanjut.
Dengan penubuhan butik ini juga dapat dijadikan sebagai rujukan pelajar untuk projek keusahawanan pelajar, aplikasi pembelajaran dalam bidang fesyen dan rekaan fesyen, pelajar dan kakitangan mendapatkan perkhidmatan tempahan baju, alteration dan sebagainya serta sebagai Pusat latihan keusahawanan terutamanya dalam bidang fesyen. – ePena
Turut disiarkan di: Buletin TV3, Suara Merdeka