oleh: Nur Syafiqah Abd Rahim (ISMP Pendidikan Islam)
Saban tahun, kita akan melewati satu bulan yang sangat istimewa dalam 12 bulan-bulan islam iaitu bulan Ramadan. Bulan Ramadan ini adalah satu bulan yang penuh dengan keistimewaan kerana Allah SWT telah memilih bulan ini untuk mensyariatkan umat islam berpuasa selama satu bulan.
Di dalam bulan ini juga, Allah memilih tanggal 17 Ramadan sebagai hari turunnya Al Quran kepada manusia yang paling agung iaitu baginda Nabi SAW, melalui malaikatNya iaitu Jibril AS di Gua Hirak.
Tidak lupa juga bahawa di dalam bulan ini, terdapat satu malam yang penuh barakah di mana ianya lebih baik daripada 1000 bulan.
ﺷﮩﺮﻣﻦ أَﻟﻒﺧﯿﺮﻟَﯿﻠَﺔُ ٱﻟﻘَﺪر
“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.” (97:3)
Walaupun kita menyambut Ramadan ini pada tiap-tiap tahun, namun adakah setiap tahun itu masih dilalui dengan sama? Andai Ramadan kita hanya dipenuhi dengan kitaran sahur, tidur, bazar dan iftar sahaja, maka Ramadan kali ini perlulah kita baiki agar kita tidak menjadi orang- orang yang rugi.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dalam Kitabnya al-Adab al-
Mufrad, Jibril A.S berkata kepada Baginda Nabi SAW:
رﻏﻢ أﻧﻒ ﻋﺒﺪ دﺧﻞ ﻋﻠﯿﮫ رﻣﻀﺎن ﻟﻢ ﯾﻐﻔﺮ ﻟﮫ
“Allah melaknat seorang hamba yang masuk ke dalam Ramadhan tetapi tidak meraih keampunan
untuknya ”.
Melalui hadis ini, dapat kita fahami bahawa, sesungguhnya amat rugi untuk orang yang melalui bulan Ramadan tetapi tidak mendapat pengampunan daripada Allah SWT sedangkan Allah SWT menjanjikan bahawa sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah SWT, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. [Al-Bukhari, 38].
Justeru, bagaimana ingin kita memanfaatkan Ramadan kita pada kali ini? Semestinya dengan memperbanyakkan amal ibadah kerana setiap amal kebaikan yang kita lakukan di dalam bulan mulia ini, Allah akan gandakan pahala terhadapnya.
Oleh itu, antara amalan yang boleh kita amalkan ialah dengan membaca al-Quran. Kitab mulia yang menjadi petunjuk buat sekalian umat manusia ini diturunkan pada bulan yang mulia yang semestinya jika sesiapa yang membacanya, maka pahala berganda akan diperoleh baginya. Tidak hairanlah para salaf dapat mengkhatamkan Al-Quran berkali-kali seperti Qatadah Rahimahullah yang mengkhatamkan Al-Quran pada setiap tujuh hari sekali, namun ketika tibanya Ramadan, beliau mengkhatamkan Al-Quran pada setiap 3 hari sekali, manakala ketika tibanya sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan, beliau mengkhatamkan Al-Quran sekali pada setiap hari. [Siyar A’lam al-Nubala’, 5/276]
Selain itu, umat islam juga dianjurkan untuk memperbanyakkan bersedekah dan memberi makan di dalam bulan ini. Ketika Nabi SAW ditanya tentang sedekah apakah yang paling afdhal, maka baginda menjawab, sedekah di bulan Ramadan. [Riwayat Al-Tirmizi (663)]. Begitu juga dengan memberi makan dengan menyediakan juadah berbuka puasa kepada orang lain. Ianya juga adalah dari jenis sedekah bahkan turut mempunyai ganjarannya yang tersendiri.
Baginda Nabi SAW telah bersabda:
ﺷ ْﯿﺌًﺎﺼﺎﺋِ ِﻢﺮ اﻟﺺ ﻣ ْﻦ أَﺟْﯿ َﺮ أَﻧﱠﮫُ ﻻَ ﯾَْﻨﻘُ ﻏِ ه ﺮﻞ أَﺟْﺜ ﻣﻛﺎ َن ﻟَﮫُ ﺻﺎﺋِ ًﻤﺎﻣ ْﻦ ﻓَﻄﱠ َﺮ
Maksudnya: Siapa yang menyediakan makanan berbuka buat orang yang berpuasa, maka dia
mendapat pahala seperti orang yang berpuasa itu dan tidak dikurangkan sedikit pun dari pahala
orang yang berpuasa itu. [Riwayat Al-Tirmizi (807)]
Di samping itu, kita juga dianjurkan untuk menghidupkan malam-malam Ramadan dengan beribadah kepada Allah. Disunatkan bagi kita untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan Solat Taraweh secara berjemaah ataupun bersendirian.
Kita juga digalakkan untuk melakukan solat-solat sunat yang lain seperti solat sunat tahajud, solat sunat hajat dan solat sunat taubat serta memperbanyakkan berdoa kerana di dalam bulan ini, akan dibukakan pintu-pintu syurga, dan ditutup pintu-pintu neraka. Amalan ini juga termasuk dalam usaha kita untuk memburu Lailatul Qadar.
Menurut Imam Qurtubi, pada malam lailatul qadar, para malaikat akan turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
Natijahnya, bulan Ramadan adalah bulan yang sangat mulia sehingga ditunggu-tunggu oleh umat Islam kerana kebaikan dan kemuliaannya daripada Allah Ar-Rahman dan Ar-Rahim agar setiap daripada hambaNya tidak mensia-siakan peluang yang Dia berikan agar kita berusaha memperoleh rahmat dan pengampunan daripadaNya.
Justeru, marilah kita jadikan bulan ini sebagai satu wadah untuk memperbaiki diri kita agar dapat menjadi insan yang lebih baik dari sebelumnya, Inshaa Allah.