Oleh: Mohd Nazirul Afiq Ismail
Foto: Nurul Hasniza Mohd Rashid

Tanjong Malim – Seramai lebih 2000 warga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini mengimarahkan pengisian bulan Ramadan menerusi program ceramah ‘Ramadan Bulan Ummat Berintegriti’ di Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff.

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, program perhimpunan bulanan yang dikendalikan oleh Fakulti Bahasa dan Komunikasi serta Pusat Islam UPSI itu menjadi salah satu pengisian slot Rabu untuk Qalbu, merupakan salah satu pendekatan menghubungkan keseluruhan warga kampus baik kakitangan akademik, mahasiswa dan kakitangan pentadbiran untuk menghayati pendekatan 5K  iaitu Kekeluargaan, Kasih Sayang, Keseronokan, Kreativiti dan Kesegeraan.

Antara sebahagian daripada 3000 warga UPSI yang menyertai perhimpunan bulanan.

“Menerusi pendekatan sama, pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi menghubung ikatan yang lebih baik dalam organisasi sejak dua tahun lepas telah menjadikan UPSI melakar kejayaan di peringkat negara dan antarabangsa,” jelasnya semasa ucapan perasmian Perhimpunan Bulanan Mengimarah Ramadan serta sambutan Nuzul Al-Quran di sini.

“Misalnya baru-baru ini para mahasiswa UPSI mengungguli tiga buah Anugerah Tokoh Siswa daripada 20 buah kategori anugerah yang diberi pengiktirafan,”

“Anugerah tertinggi dikalangan mahasiswa ini turut mendapat penyertaan ribuan mahasiswa seluruh tanahair merupakan project by design diilhamkan UPSI sendiri, “ jelasnya.

Ustaz Haslin Bahrin.

Menurut Md Amin lagi, sebagai universiti peneraju kebitaraan pendidikan, UPSI juga bakal memulakan operasi pusat pembelajaran di Emiriah Arab Bersatu selepas kejayaan di negara Uzbekistan dan China dan sebagainya.

“UPSI menerusi Pusat Kajian Pendidikan (CPRI) juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Institut Pendidikan Guru bagi membangunkan penyelidikan berkenaan pendidikan pedagogi, serta kerjasama dengan Universiti Cambridge United Kingdom dan Universiti Kebangsaan Singapura dalam bidang teknologi nano,” jelasnya lanjut.

Antara sebahagian daripada 3000 warga UPSI yang menyertai perhimpunan bulanan.
 

Selain itu menurut Md Amin lagi UPSI turut merancang menjalankan program melibatkan warga UPSI seperti majlis iftar perdana dan hari raya yang turut mengundang Tuanku Canselor, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

“UPSI tak mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan universiti lain jika warganya tidak ada rasa sayang pada ibu kandung suluh budiman (kampus),” ujarnya.

Program ceramah keagamaan itu mengundang penceramah tersohor tanahair Ustaz Haslin Bahrin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Haslin Bollywood itu membicarakan kemuliaan Al-Quran sebagai petunjuk kehidupan manusia, mukjizat yang diturunkan pada bulan Ramadan serta pembentukan nilai sahsiah umat yang berintegriti bermula pada bulan mulia ini. – ePena.

Turut disiarkan di: Suara Merdeka, BuletinTV3, Berita Harian, Sinar Bestari

By Mohd Nazirul Afiq Ismail

Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Pengarang e-Pena, mantan wartawan berita & rencana Mega Sains Utusan Melayu Malaysia Berhad, wartawan majalah Mastika, URTV, Infiniti. Ghost writer, suka travel dan suka taugeh. Jom menulis untuk e-Pena emelkan ke nazirul.ismail@upsi.edu.my