Fakulti Sains dan Matematik (FSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sentiasa komited memperkasakan pelaksanaan amali sains. Justeru, satu bengkel Kompetensi Amali Fizik telah diadakan bertempat di Makmal Fizik Sentral, FSM melibatkan 35 guru Fizik daerah Muallim dan Batang Padang.
Makmal Fizik Sentral UPSI menempatkan sebanyak 25 set amali Fizik Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 berdasarkan kepada Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM). Ruang seluas 3000 kaki persegi ini mampu memuatkan 60 pengunjung dalam satu-satu masa, merupakan makmal berpusat yang pertama seumpamanya di Malaysia dengan pematuhan 100% buku teks.
Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Dr. Mohd Ikhwan Hadi berkata penubuhan Makmal Fizik Sentral ini merupakan manifestasi kepada komitmen pelbagai kepakaran di Jabatan Fizik selain kerjasama baik yang dijalinkan bersama Suria Pembekal Umum Sdn. Bhd.
Bengkel telah dimulakan dengan slot inovasi pengajaran Fizik oleh Profesor Emeritus Dr. Rosly Jaafar. Peserta bukan sahaja didedahkan dengan pelbagai alternatif baharu pengajaran Fizik malah turut sama berpeluang menjalankan demonstrasi amali selama hampir 2 jam.
Seterusnya, peserta melalui 13 stesen yang menempatkan 25 set amali dan turut sama menjalankan kesemua amali melibatkan proses menyusun alat radas, mencerap data, memproses data dan memplot graf. Antara set amali yang menjadi tumpuan adalah menentukan pemalar planck, daya dan gerakan, jatuh bebas, optik geometri dan daya memusat.
Selesai menjalankan kerja amali, peserta telah dianugerahkan sijil kompetensi oleh Pegawai SISC+ Sains Matematik Daerah Muallim, Puan Sabina Benjamin. Majlis penganugerahan turut sama dihadiri Ketua Jabatan Fizik, Dr. Mohd Faudzi Umar.
Sementara itu Dekan, Profesor Madya Dr. Mohd Faizal Nizam berkata Makmal Fizik Sentral merupakan gabungan kepakaran kumpulan PhyKIR dan kumpulan PhyNET yang bernaung di bawah Pusat STEM UPSI yang telah ditubuhkan setahun lalu.
“Selain Makmal Fizik Sentral, bas Pendidikan UPSI juga boleh digunakan sebagai makmal bergerak bagi meningkatkan kompetensi guru dan murid dalam STEM,” katanya. – ePena