oleh: Dr Wan Nurul Izza Wan Husin

Perasaan gementar mahasiswa kadet PALAPES UPSI pada peringkat awal memberi khidmat gunting
rambut percuma kepada komuniti terpinggir Chow Kit yang terdiri daripada gelandangan dan
golongan miskin bandar hilang sebaik mendengar ucapan terima kasih bertalu-talu daripada warga
Chow Kit yang menerima perkhidmatan mereka.

Muhammad Fadhil Anuar, 21, berasa teruja dan puas dapat menyantuni golongan ini.

“Pada awalnya rasa gementar juga kerana pertama kali berhadapan dengan golongan ini, namun
perasaan itu hilang kerana mereka menunjukkan kemesraan dan menghargai usaha kecil seperti ini,”
kata mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga kadet Pasukan Latihan Pegawai
Simpanan (PALAPES) UPSI.

Antara warga Chow Kit yang hadir

Katanya, beliau dan rakan-rakannya mendapat satu pengalaman baru dan kepuasan apabila dapat
membantu golongan berkenaan secara percuma dengan memberikan ‘imej baru’ kepada golongan
itu.

Program khidmat komuniti ini adalah inisiatif beberapa agensi dan pertubuhan bukan kerajaan
seperti Malaysian Substance Abuse Council (MASAC), PUAKPayong, Projek Belia Mahir, Federasi
Kebangsaan Pekerja Belia, Belia FELDA Malaysia, Majlis Belia Malaysia, Pertubuhan Ar-Riqab dan
Surau Al-Hijrah. Program dijalankan di perkarangan Surau Al-Hijrah, Chow Kit Kuala Lumpur.

Anak-anak Chow Kit

Program tersebut turut dihadiri Ketua Projek Belia Mahir, Mohamad Rizan Hasan, Pengasas Persatuan Untuk Anak Kita (PUAKPayong), Syed Azmi Alhabshi, Setiausaha Agung Majlis Belia Malaysia, Hasnul Haniff Harun dan Pengasas Pertubuhan Ar-Riqab, Nor Akmar Ali. Turut hadir adalah mantan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang turun mengagihkan sumbangan duit raya untuk anak-anak di sekitar Chow Kit.

Menurut Pengasas Pertubuhan Ar-Riqab, Nor Akmar Ali, pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang program tersebut termasuklah perkhidmatan gunting rambut percuma, agihan makanan (makan malam) percuma, solat maghrib dan isya’ berjemaah dan ‘free market’. Program bermula dari jam 4 petang hingga malam. Bagi aktiviti ‘free market’, pengunjung boleh mengambil apa sahaja barangan yang dipamerkan seperti pakaian terpakai, buku-buku, permainanan kanak-kanak dan lain-lain keperluan secara percuma. Sementara itu, Nor Akmar turut berbangga dengan penglibatan golongan belia terutamanya mahasiswa universiti dalam usaha memperkasa komuniti miskin bandar dan gelandangan tersebut.

Pegawai pengiring UPSI Dr. Wan Nurul Izza Wan Husin berkata program khidmat komuniti seumpama ini memberi peluang kepada mahasiswa UPSI untuk mendekati dan memahami cabaran kehidupan yang dihadapi komuniti tersebut dan berhasrat untuk mengadakan lebih banyak program seumpama itu pada masa akan datang.

Program ini disambut meriah oleh golongan terpinggir Chow Kit dan jelas terpancar kegembiraan di raut wajah mereka terutamanya kanak-kanak kecil apabila diberi sumbangan duit raya dan diberi peluang untuk menjamu hidangan yang lazat, memilih pakaian percuma dan mainan percuma. – ePena

By epena

e-PENA, Gapura Media UPSI

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)