Oleh: Hamizan Samsudin
Tanjong Malim – Bahagian Sumber Manusia (BSM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menganjurkan Hari Bertemu Pelanggan Bahagian Sumber Manusia (BSM) 2023 pada 26 Julai yang lalu bertempat di Atrium Bangunan Canseleri, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, UPSI.
Bahagian Sumber Manusia (BSM) merupakan sebuah bahagian di bawah Jabatan Pendaftar dan diketuai oleh Timbalan Pendaftar Kanan, iaitu Puan Mahanum binti Muhammad.
BSM terbahagi kepada kepada dua seksyen dan mempunyai lapan (8) unit di bawahnya iaitu Unit Pentadbiran dan Kewangan, Unit Kebajikan Staf, Unit Teknologi Maklumat, Unit Perkhidmatan, Unit Perjawatan, Unit Pengurusan Bakat, Unit Latihan dan Unit Cuti Belajar.
Justeru, dengan penglibatan semua unit ini di Hari Bertemu Pelanggan BSM, ia dapat menjadi salah satu medium untuk staf UPSI meleraikan apa jua permasalahan berkaitan sumber manusia, selain dapat memberikan pemahaman dan penjelasan berkaitan isu-isu sumber manusia dengan lebih jelas, tepat dan terperinci.
Penganjuran Hari Bertemu Pelanggan BSM ini juga adalah bersempena dengan sambutan bulan HRMIS yang diadakan pada bulan Julai 2023 dengan bertemakan “Ketepatan Data Aspirasi Kita”.
Human Resource Management System (HRMIS) ini merupakan sebuah sistem pengurusan maklumat sumber manusia yang dibangunkan khas bagi memudahkan proses pengurusan sumber manusia di semua agensi awam seluruh Malaysia.
Tujuan utama sambutan bulan HRMIS ini dianjurkan adalah bagi meningkatkan tahap ketepatan data dalam HRMIS, meningkatkan penggunaan HRMIS di kalangan staf UPSI, meningkatkan kemahiran pengguna sistem HRMIS, meningkatkan tahap kesedaran terhadap kepentingan HRMIS dan meningkatkan platform untuk berkongsi maklumat dan masalah HRMIS.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan antaranya senamrobik, meja bantuan HRMIS, kuiz Kahoot HRMIS, HRMIS TikTok Challenge, kaunter unit-unit di BSM, cabutan bertuah, penyampaian hadiah dan pemberian cenderahati.





Selain itu, dengan kerjasama antara BSM dengan Pusat Kaunseling, satu kaunter bagi ujian saringan Minda Sihat (DASS) yang telah dikelolakan oleh Pusat Kaunseling juga telah dibuka bagi membolehkan saringan kesihatan dari segi tahap tekanan, kebimbangan dan kemurungan dalam kalangan staf UPSI.


Pihak Bahagian Sumber Manusia ingin merakamkan jutaan terima kasih di atas sokongan yang telah diberikan oleh staf UPSI berdasarkan maklum balas yang sangat positif daripada penganjuran program ini.