Oleh: Nur Atiqa Balqis Abdul Samad & Afiqah Danian

Tanjong Malim-  Universiti Pendidikan Sultan Idris menyambut kehadiran 604 pelajar baharu diploma ambilan Ogos 2023 pada 13 Ogos 2023 yang mendaftar di Dewan Kolej Ungku Omar, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.

Kesemua mereka yang mendaftar ditempatkan di Kolej Awang Had Salleh yang mempunyai enam blok iaitu dua blok lelaki dan empat blok perempuan. Ibu bapa pelajar juga meluahkan perasaan teruja dengan keluasan kampus dan kolej yang besar malah berpeluang  melihat  sendiri keadaan bilik yang telah disediakan.

Sesi pendaftaran turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin yang menyantuni pelajar-pelajar baharu diploma di samping memberi pesanan agar sentiasa belajar bersungguh-sungguh dan tidak mensia-siakan wang ringgit yang dikeluarkan oleh ibu ayah masing-masing.

Timbalan Pendaftar Kanan, Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Pn. Maskana Haji Ahmad, yang turut mengiringi Timbalan Naib Canselor (HEPA) berharap agar semua pelajar baharu memanfaatkan kemudahan dan bantuan yang disediakan oleh UPSI di samping memastikan kebajikan pelajar dalam keadaan yang terjaga.

Sejurus mendaftar, pelajar  baharu  menjalani Minggu Intelektual dan Interaksi Anak Kandung Suluh (MILLENIA) yang berlangsung dari 14 sehingga 16 Ogos 2023. Pelbagai slot  disediakan antaranya berkaitan kebajikan, pilihan raya, penggunaan sistem portal pelajar termasuk slot bersama pihak PTPTN.

Pengarah Program MILLENIA, Nur Atiqa Balqis Abdul Samad merangkap Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar menyatakan harapan agar pelajar-pelajar diploma sentiasa mencari ruang dan peluang dalam mengembangkan bakat mengikut platform yang telah disediakan. Katanya lagi, jiwa muda yang ada dalam diri pelajar-pelajar diploma mestilah berani mencuba dalam mencari pengalaman yang lebih meluas di alam universiti sekali gus akan membentuk peribadi dan akhlak yang lebih cemerlang