Oleh: Nurul Anuar Jamasan

Tanjong Malim: Bersimpati dengan nasib yang menimpa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Muhammad Aizuddin Norizam,22, Ahli Parlimen Tanjung Malim merangkap Menteri Sains dan Teknologi (MOSTI), Chang Lih Kang menziarahi pelajar itu di Kota Malim Prima, Tanjong Malim semalam.

Muhammad Aizuddin yang merupakan pelajar semester empat bagi program Ijazah Sarjana Muda Ekonomi( Kewangan) di Fakulti Pengurusan dan Ekonomi( FPE) UPSI, adalah anak sulung daripada lima beradik yang semuanya masih belajar, manakala adiknya yang paling kecil berumur lima tahun.

Dia yang kematian ibu pada Jun 2023 lalu akibat penyakit kanser juga berdepan dengan ujian ayahnya, Norizam Mokhlas,51, diserang penyakit strok( angin ahmar) semenjak Januari 2023.

Chang Lih Kang menyampaikan sumbangan peribadi wang tunai kepada Muhammad Aizuddin sambil menyaksikan serahan dokumen Dermasiswa dari Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat & Sedekah (WEZAS) UPSI yang meliputi yuran pengajian dan sara hidup bagi membantu meneruskan pengajian di kampus.

Chang Lih Kang berharap Muhammad Aizuddin tabah menjalani kehidupan dalam mengejar impiannya sambil menjaga ayahnya yang sakit dan semoga sumbangannya dapat meringankan bebanan yang ditanggung.

“Semoga Muhammad Aizuddin dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang sambil berbakti sebagai seorang anak,” katanya.

Muhammad Aizuddin yang terharu dengan kepihatinan wakil rakyat dan WEZAS itu berazam untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga tamat pengajian dan membela nasib keluarga.

” Saya terharu dengan sumbangan ini dan akan memanfaatkannya untuk pengajian sambil memikul tanggungjawab berat menjaga bapa dan adik-adik,” katanya.

Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir ( dua dari kiri ) menyampaikan surat tawaran dermasiswa kepada Muhammad Aizuddin sambil disaksikan Chang Lih Kang ( kanan).

Turut hadir ke sesi ziarah itu Pengarah WEZAS, Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latiff ; Timbalan Dekan, Fakulti Pengurusan Ekonomi ( FPE), Dr. Khalizul Khalid serta felo Unit Kediaman Luar Kampus ( UKLK) serta pegawai WEZAS.

Prof. Madya Dr. Mohd Abdul Nasir berkata ayah Muhammad Aizuddin bekerja dengan Proton Holding dan ketika ini diberikan tempoh bertenang cuti sakit bergaji sehingga Disember 2023.

Katanya, status kerja ayah pelajar ini akan ditentukan berdasarkan tahap kesihatan ayahnya, malah memandangkan pelajar ini anak sulong, maka dialah yang menguruskan urusan rumah, dan mencari nafkah keluarga dengan membawa motor bagi menghantar makanan melalui Food Panda.

“Pelajar ini mempunyai semangat yang kuat, walaupun diuji dengan tanggungjawab dan ujian yang berat masih mengekalkan akademik yang cemerlang, ” katanya.

Beliau berkata Julai lalu WEZAS menawarkan Dermasiswa kerana Muhammad Aizuddin memenuhi kategori asnaf di samping dapat mengekalkan pencapaian akademiknya.

“Kemiskinan dan dugaan ini bukan pilihan, tapi perlu dihadapi dengan penuh kecekalan dan selaras dengan slogan WEZAS, merealisasikan impian pendidikan diharapkan dengan bantuan ini dapat membantu meringankan beban yang dialaminya”

Beliau berkata WEZAS UPSI bertanggungjawab membantu pelajar dalam bantuan dan pembiayaan pendidikan dan sara hidup pelajar yang bermasalah kewangan dalam menjalani kehidupan di kampus.

” WEZAS mendapat kebenaran daripada Majlis Agama Islam Perak (MAIPK) sebagai amil yang dilantik bagi penerimaan pelbagai jenis zakat, wakaf dan sedekah dan bagi yang ingin menunaikan kewajipan berzakat boleh menghubungi nombor hotline WEZAS di talian 017-2082453.

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial
error

Enjoy this blog? Please spread the word :)